Apa maksud tersirat tawar dua TPM Sabah, Sarawak… tanya jer!


 

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berjanji jika BN menang PRU-15, dua orang Timbalan Perdana Menteri akan dilantik masing-masing bagi mewakili Sabah dan Sarawak.

Ini satu tawaran yang menarik.

Dalam sistem politik negara kita, Timbalan Perdana Menteri dilantik oleh Perdana Menteri. Pengerusi mana-mana parti politik tidak ada kuasa untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.

Yang kita diberitahu, calon Perdana Menteri daripada BN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tetapi yang membuat janji ini ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN.

Apakah ada maksud tersirat di sebalik janji ini?

Adakah ini bermaksud Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah calon PM sebenar daripada parti BN?

Adakah ini bermaksud, sebagai Pengerusi BN yang satu-satunya ada kuasa untuk memberi watikah kepada calon-calon BN, beliau hanya akan memberi watikah kepada penyokong-penyokong setianya sahaja?

Adakah ini bermaksud, apabila calon-calon ini menang dalam pilihanraya, mereka akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai PM, bukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Adakah ini bermaksud, jika BN menang dalam PRU-15, buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia akan mempunyai seorang PM yang sedang berhadapan dengan pendakwaan jenayah rasuah di mahkamah?

Adakah ini juga bermaksud, agenda pertama Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan pada 20 November 2022 bukan untuk membela nasib rakyat, tetapi untuk melepaskan dirinya daripada pendakwaan di mahkamah?

Yer lah…antara tugas rasmi PM yang baru dilantik ialah untuk melakukan kunjung hormat ke atas rakan sejawat di luar negara.

Tak syoklah kalau tiba-tiba PM kena bergegas balik untuk hadir perbicaraan di mahkamah.

Saya tanya jer…

Datuk Dr Marzuki Mohamad
Penulis adalah Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8

 

No comments: