Bekas Ketua UMNO iring Anwar di Sabah, dakwa dibuang

 



Abdul Ghafur (tiga kiri) duduk sebelah Anwar dalam siri jelajahnya ke Sabah hari ini.

Kemunculan bekas Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh mengiringi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebuah majlis di Tawau menimbulkan persoalan mengenai status bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dalam UMNO.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kalabakan itu sendiri mendakwa beliau sendiri keliru dengan status keahliannya dalam parti Melayu terbesar itu tetapi percaya namanya sudah digugurkan selepas perubahan kepemimpinan bahagian itu sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya ahli UMNO seumur hidup tetapi apabila satu kumpulan ambil alih Bahagian (kepemimpinan UMNO Bahagian Kalakaban), mereka buang saya daripada UMNO Kalabakan,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Pengerusi PH dihadiri Anwar, hari ini (23 Oktober 2022), lapor Berita Harian.

Namun beliau yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah dan bekas Timbalan Pengerusi UMNO Sabah itu berkata jika benar dirinya dibuang daripada parti perkara itu tidak melalui proses sepatutnya.

“Sebenarnya, mereka (bahagian) tidak ada kuasa, hanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ada kuasa untuk buang,” kata Abdul Ghafur, 79 dan mempertikai tindakan UMNO Kalabakan yang disifatkannya bertindak sesuka hati tanpa merujuk perlembagaan parti.

“Saya ada merujuk kepada Biro Perhubungan UMNO Pusat untuk siasatan namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan. Jadi, sekarang saya bolehlah dianggap orang yang tidak ada parti. Saya bebas menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang saya suka,” katanya yang menyokong PKR pada PRU-15 nanti.

 

No comments: