PKR BUKAN LAGI PARTI DERITA, RAFIZI ADALAH PELENGKAP KEPADA ANWAR

 

Satu perkara yang ketara sejak Rafizi Ramli menang sebagai pemimpin nombor dua PKR ialah parti itu tidak lagi dilihat lesu serta kurang bermaya.

Malah, PKR kini tampak segar dan berada dalam “mode” menyerang pihak lawan bila-bila masa.

Sejak Langkah Sheraton dan diikuti dengan kekalahan dalam PRN Melaka, Johor dan Sarawak, PKR benar-benar dilihat lesu dan tidak bermaya sehingga ramai orang mula melihatnya sebagai parti yang tiada masa depan.

Sekaligus keadaan itu menjadikan ungkapan Anwar Ibrahim di Kongres Tahunan parti di Melaka dua tahun lalu yang menyebut PKR adalah parti derita sering dimomok-momokkan dan digambarkan telah menjadi kenyataan.

Tetapi, dengan kembalinya Rafizi dan gerakan-gerakan yang dilakukannya, PKR kini sudah jauh berbeza.

Jika ada PRN lagi dalam waktu terdekat ini, semangat dan kebangkitan PKR sudah tentu tidak sama seperti di Melaka, Johor dan Sarawak sebelum ini.

Seperti bermain bolasepak, untuk lebih mungkin menjaringkan gol dan menang perlawanan adalah dengan sentiasa melakukan serangan.

PH berjaya menang PRU14 dulu pun kerana melakukan serangan bertubi-tubi terhadap kubu BN dan penjaga gawangnya, Najib Razak sehingga akhirnya gabungan yang telah berkuasa selama 60 tahun itu berjaya ditumbangkan.

Sebagaimana janji Rafizi sebelum memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR lagi, beliau kini benar-benar serius menumpukan serangannya kepada UMNO dan BN, khususnya Najib yang menampakkan jelas mahu kembali semula sebagai Perdana Menteri.

Begitu pun, melalui Ayuh Malaysia yang digerakkannya bersama Nurul Izzah, ia menunjukkan Rafizi tidak lupa kepada kepentingan mengukuhkan kubu sendiri agar dalam serangan bertalu-talu yang dilakukannya itu, ia tidak pula menyebabkan gawang sendiri mudah dibolosi pihak lawan.

Maka, benarlah seperti kata Anwar dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR dua minggu lalu, kehadiran Rafizi telah membawa panadol dan menghilangkan pening kepalanya.

Sementara Rafizi dipercayai terus melakukan siri serangan yang kini impaknya sudah mula dirasai dan diperkatakan ramai, beliau bersama Nurul Izzah sudah pun siap dengan jadual untuk menjelajah ke seluruh negara bersama Ayuh Malaysianya.

Di ketika yang sama, Anwar pula terus bergerak ke beberapa lokasi bersama pimpinan PH dalam konteks sebuah gabungan bagi meyakinkan rakyat agar tidak goyah daripada melakukan perubahan dalam PRU15 akan datang.

Ayuh Malaysia yang setakat ini telah mengadakan program penerangan dan jualan meja di KL, Johor Bahru dan Pulau Pinang terbukti telah mendapat sambutan luar biasa dan semua meja habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Ini adalah petanda keterujaan terhadap perubahan sudah mula dikembalikan.

Laporan polis terhadap Najib berkaitan insiden Sulu yang digerakkan Rafizi juga telah berjaya menghimpunkan lebih 140 cabang di seluruh negara melakukan hal yang sama sehingga bekas Perdana Menteri itu terlihat jadi “kepanasan” dengan tidak henti-henti membuat posting di FB menafikan kaitan beliau dengannya.

Makna kata, Rafizi dalam hal ini adalah pelengkap kepada Anwar yang selama ini dilihat banyak bersendirian ke sana sini dengan kudratnya yang semakin tidak seberapa di sebalik semangat dan iltizamnya saja yang sentiasa membara untuk melakukan perubahan kepada negara.

Dengan terus menyerang dan menggerakkan Ayuh Malaysia ke seluruh negara bersama Nurul Izzah, sambil dalam masa yang sama tampil pula dengan tawaran-tawaran baru kepada rakyat untuk mengatasi isu-isu kritikal seperti jaminan makanan, pendidikan, latihan vokasional, perumahan, pekerjaan dan sebagainya, Anwar ketika ini seperti sedang diletakkan di landasan yang betul untuk menuju ke Putrajaya.

Cuma, untuk menambahkan lagi keberkesanan, apa yang dilakukan Rafizi sekarang bagi menghadapi PRU15 akan datang hendaklah segera disambut dan dikayuh bersama oleh semua pihak dalam PKR dan juga PH.

Episod pertandingan yang sudah berlalu haruslah segera dilupakan dan kesetiaan kepada “cai-cai” tertentu semasa pertandingan dahulu, baik di peringkat pusat, negeri, cabang, AMK dan Wanita, tidak wajar lagi dipanjang-panjangkan.

Keutamaan bagi semua “cai” sekarang ini ialah untuk menang PRU15 dan jika semua orang sanggup bekerja kuat untuk pilihan raya sepertimana kuatnya mereka bekerja semasa pertandingan dalam parti, tiada cita-cita dan impian yang mustahil untuk dijadikan kenyataan.

Bahkan, pasti amat mengujakan rakyat jika gandingan Anwar dan Rafizi dapat dibawa ke seluruh negara bermula dalam waktu yang terdekat ini sebagai membuktikan gandingan mereka berdua benar-benar saling melengkapi untuk menuju kemenangan. – ShahbudinHusin 03/08/2022.