MENONJOLKAN TENGKU ZAFRUL MESTI DIIRINGI KESEDIAAN PEMIMPIN LAMA BERUNDUR PERGI

 

Daripada sudut yang lain, keputusan BN Selangor melantik Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari yang baru adalah cerminan bahawa tokoh muda, profesional dan berketrampilan dilihat amat perlu untuk diketengahkan bagi mencari kemenangan dalam PRU15 akan datang.

Dengan dilantik sebagai Bendahari BN, Tengku Zafrul pasti akan diberi laluan bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri itu atau mungkin bakal dipertaruhkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Maka, tidak dinafikan, jika itu dilakukan dan disertai kebanyakan calon yang akan diketengahkan juga terdiri daripada orang muda, profesional dan berketrampilan, BN mampu memberi cabaran kepada PH yang telah berkuasa di Selangor sejak 2008 lalu.

Contoh telah pun ditunjukkan dalam PRN Melaka dan Johor di mana barisan muda dan berkelayakan yang ditonjolkan terbukti mampu menghasilkan kejayaan.

Persoalannya, sediakah orang-orang lama dan “warlords” dalam UMNO Selangor memberi laluan?

Atau mereka mahu terus bersaing dan turut menjadi calon?

Di samping itu, jika UMNO dan BN benar-benar ikhlas dan serius inginkan kemenangan, selain melalui Tengku Zafrul yang telah diketengahkan di Selangor, perkara yang sama juga mesti dipraktikkan di peringkat pusat.

Sebagaimana di Selangor, melalui penonjolan Tengku Zafrul sebagai pembawa aura baru, tokoh-tokoh muda hendaklah juga ditonjolkan di peringkat Parlimen bagi menggantikan watak-watak lama yang sebahagiannya adalah umpama “tumor” kepada parti.

Kalau perkara itu dapat dilakukan, UMNO dengan sendirinya berjaya menghantar mesej yang jelas dan mudah difahami kepada rakyat bahawa mereka adalah parti yang sedia berubah mengikut kehendak semasa dengan menukar pemimpin “generasi lampin” yang membebankan kepada “generasi pampers” yang berketrampilan.

Sementelah lagi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang sudah diputuskan sebagai “poster boy” BN baru saja berusia 62 tahun, pemimpin yang lebih tua daripada beliau harus sedar diri inilah masa untuk mereka berundur pergi.

Tidak perlu lagi mereka turut sama berebut dan bergelut untuk terus mendapat kedudukan dalam parti dan kerajaan.

Lebih terpuji, kalau semua itu dapat dimulai dengan Presiden UMNO sendiri menunjukkan teladan, berdada lapang dan berjiwa besar mengumumkan tidak akan bertanding lagi dalam PRU15 akan datang.

Dalam keadaan UMNO perlu menang pada PRU15 akan datang, tetapi laluannya pula tidak lapang, langkah terbaik dan mungkin dapat memberi kelebihan menuju kemenangan ialah dengan Zahid Hamidi mesti mengetuai barisan pemimpin yang akan mengundur diri itu.

Lagi pula, sudah banyak nikmat dunia melalui jawatan yang dipegang selama ini telah pun dirasai oleh pemimpin-pemimpin lama itu.

Lalu, mereka mahu apa lagi?

Pemimpin muda seperti Reezal Merican Naina Merican, Khairy Jamaluddin, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Shahril Hamdan dan lain-lain harus diketengahkan serta diberi laluan yang lebih selesa untuk mengambil alih dan seterusnya mengisi kepimpinan masa depan.

Mereka inilah antara pewaris kepimpinan UMNO masa depan, tambahan lagi pemimpin muda seperti Reezal Merican dan KJ yang terbukti telah menunjukkan prestasi memberangsangkan melalui jawatan menteri yang mereka sandang sekarang.

Tanpa kesediaan pemimpin lama berundur dan memberi laluan lebih selesa kepada pemimpin muda berwibawa, berkelulusan dan berketrampilan mengambil alih kepimpinan, UMNO bukan saja gagal menampilkan wajah segar yang boleh memikat hati pengundi, lebih buruk lagi ia akan menimbulkan tanggapan umum bahawa perlantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor tidak lebih hanya sekadar retorik semata-mata. – ShahbudinHusin 02/08/2022.



No comments: