Antara ‘poster boy’ dan ‘warlord’

 


Wow…maka berkata Najib Razak, bagi berdepan PRU15, BN Selangor kena pilih “poster boy” yang ada “wow”.

“Mesti pilih orang yang kompeten dan wibawa. Pilihlah ‘poster boy’ yang paling baik. Yang ada ‘wow factor’. Sebut je nama dia, graf kita naik,” Najib beritahu konvensyen BN Selangor baru-baru ini.

Jika itu dilakukan, Najib yakin BN akan menang PRU15 untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama orang yang pada hematnya punyai faktor “wow” untuk dijadikan “poster boy” BN Selangor.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kalau itu kata-kata bekas pengerusi BN, ini pula kata-kata Pengerusi Zahid Hamidi: “Golongan ‘warlord’ BN harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu capai kemenangan.”

Amat menarik Zahid menggunakan istilah ”warlord”, atau jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu ‘panglima perang’. Namun dalam konteks politik BN khususnya Umno, ia lebih tepat dirujuk sebagai “little Napoleans” yang bermaksud “maharaja kecil” yang berkuasa dan bermaharajalela di kawasan masing-masing. Ertinya di kawasan berkenaan mereka lah maharaja walaupun di peringkat nasional ada maharaja yang berkuasa .

Kewujudan “warlord” dalam Umno bukanlah rahsia. Mereka di setiap negeri di mana ada Umno cuma pemimpin tertinggi jarang atau tidak mahu bercakap mengenainya secara terbuka.

Lantas apabila Zahid menggunakan istilah “warlord” secara terbuka ketika berucap pada majlis penutup konvensyen BN Selangor, saya menyifatkan pengakuan terbuka itu amat menarik.

Dalam kalangan BN dan lebih tepat Umno Selangor ada “warlord”, Atau sekurang-kurangnya ada pemimpin dianggap begitu. Antaranya Noh Omar, pengerusi Umno Selangor. Orang lama cukup berpengalaman.

Tidak beberapa dulu ada spekulasi kononnya beliau akan digantikan oleh orang yang lebih muda dan berwibawa . Dikatakan orang itu ialah Tengku Zafrul Aziz, menteri kewangan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan juga Muhyiddin Yassin.

Namun Ismail ketika berucap, juga pada konvensyen BN Selangor tempoh hari, “mendedahkan” beliau melantik Noh ke dalam jemaahnya bagi “membantu merampas Selangor” pada PRU mendatang.

“Ketika saya mula jadi perdana menteri, Noh tiada jawatan dan saya fikir jika kita beri jawatan kepada pemimpin Selangor ada harapan kita rampas semula Selangor,” kata Ismail.

Menurut perdana menteri, mulanya beliau bercadang melantik Noh sebagai menteri undang-undang tetapi pemimpin Selangor itu meminta jawatan “yang dekat di hati rakyat”. Oleh itu, kata Ismail, “saya beri dia menteri pembangunan usahawan dan koperasi”.

Jelas bagi Ismail, jawatan Noh sekarang lebih “dekat di hati rakyat” berbanding menteri undang-undang. Waullahualam.

Kata-kata Ismail di hadapan ratusan hadirin pada Konvensyen BN Selangor ialah satu “endorsement” terbuka buat Noh. Jelas Noh akan kekal pengerusi Umno Selangor yang akan mengetuai kempen BN PRU15 di Selangor. “Warlord” masih “powerful”.

Lalu bagaimana pula Zafrul? Beliau dilantik bendahari BN Selangor. Sesuai menteri kewangan jadi bendahari. Jaga duit. Hampir pasti Zafrul akan jadi calon di Selangor. Ada dalam kalangan Umno yang mahu beliau bertanding peringkat negeri. Jika menang dan BN memerintah Selangor, beliau dijadikan menteri besar. Ada yang mahu Zafrul bertanding peringkat persekutuan. Ada juga mahu beliau bertanding Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat .

Zafrul setakat ini gembira dilantik bendahari BN Selangor. Tidak perlu diragui beliau akan turut gembira jika dipilih sebagai calon PRU15. Ini juga menarik kerana sebelum ini kita tahu Zafrul kerap menegaskan beliau tidak minat menceburi politik.

Beliau setuju dijadikan senator dan senang hati menerima jawatan menteri kewangan “untuk berkhidmat untuk negara”.

Pun begitu lama-kelamaan, seperti saya pernah tulis untuk FMT 9 Jun lalu, kenyataan dan tingkah lakunya disifatkan pelbagai pihak sebagai ahli politik. Ketika berhujah persis orang politik, bukan bagai teknokrat yang diuar-uarkan.

Mungkin itu strategi beliau. Merahsiakan minat sebenar. Mungkin beliau sememangnya orang yang suka berahsia. Beliau merahsiakan keahliannya dalam Umno semasa dilantik Muyhiddin sebagai menteri dahulu walaupun menurut Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, Zafrul “sudah lama jadi ahli”. Tetapi Ahmad dan Zafrul tidak beritahu Umno cawangan atau bahagian mana dia didaftar sebagai ahli parti. Mungkin ini juga strategi?

Saya ada baca satu catatan di Facebook yang dibuat oleh, saya kira, seorang yang mengikuti perkembangan politik. Kata beliau: “Inilah bahana dan tarikan politik. Kuasa politik lebih kuat tarikannya dari tarikan berkhidmat untuk negara.”

Bagi wartawan veteran, A Kadir Jasin, “orang putih kata ‘he spoke too soon’. Cakap cepat sangat tak berminat politik konon. Tapi nampak seronok jadi bendahari BN Selangor.”

Kata Kadir, sepatutnya dalam keadaan ekonomi gawat sekarang Zafrul tumpukan perhatian kepada mengurus kewangan negara “bukan mengejar cita-cita politik”.

Namun realitinya Zafrul sudah masuk politik. Dengan pelantikan itu apa yang BN Selangor mahu Zafrul lakukan?

“BN Selangor ni banyak duit ke? Atau mereka harap dia cap duit untuk mereka?” tanya Kadir.

Saya tidak boleh menyelam minda Kadir. Mungkin apa yang Kadir maksudkan ialah adakah BN Selangor mengharapkan Zafrul mendapatkan mereka sumber kewangan? Untuk aktiviti politik tentunya.

Namun Ismail semasa memberitahu konvensyen BN Selangor mengapa beliau melantik Noh sebagai menteri berkata beliau meminta Noh menyalurkan bantuan bagi menggerakkan jentera BN di Selangor.

Menggunakan istilah “minyak” untuk merujuk bantuan, Ismail berkata bantuan “minyak” itu boleh diberikan Noh menjelang PRU15 yang semakin hampir. Pun begitu Berita Harian Online melaporkan kata-kata Ismail itu dibuat “secara berseloroh”.

Seloroh atau serius hakikatnya dana politik untuk kempen pilihan raya amat penting. Siapa yang boleh menjana sumber kewangan BN Selangor?

Berbalik soal “poster boy” BN Selangor? Lazimnya wajah pemimpin tertinggi peringkat negeri digunakan. Dalam konteks ini pengerusi Umno Selangor. Adakah Noh akan diangkat sebagai “poster boy” BN Selangor atau Zafrul? Adakah mereka menemui kriteria “wow” yang dicadang Najib?

Jalan keluar ialah BN Selangor menggunakan Ismail sebagai “poster boy” mereka. Lagi pun BN-Umno sudah memutuskan beliau akan dijadikan “poster boy” BN pada PRU15.

Tetapi BN Selangor “at one point or another” mesti mengumumkan kepada rakyat siapa pemimpin nombor satu mereka. Kata pepatah Cina – dua ekor harimau tidak boleh menguasai sebuah gunung.

No comments: