Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, perjumpaan antara pemimpin Umno dan PAS sentiasa berlangsung walaupun tiada mesyuarat melibatkan Muafakat Nasional (MN).
Malah katanya PAS akan meneruskan komitmen dalam MN dan sudah ada usaha dilakukan ke arah itu.
“Kita ada usaha-usaha yang sedang dan akan terus buat. Selagi tak sampai masanya kita akan teruskan demi untuk perpaduan dan kestabilan negara.
“Tidak ada mesyuarat MN pun kita bertemu pemimpin-pemimpin parti berkenan. Kita sentiasa bertemu, waktu terdekat kita bertemu dan dalam waktu terdekat akan bertemu pun ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kejohanan olahraga Sekolah Kebangsaan Islah di Kota Bharu, hari ini.
Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang dan ruang kerjasama antara PAS dan Umno melalui MN menjelang PRU15.
Terdahulu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerjasama antara parti itu dengan Umno dalam PRU15, jika dilaksanakan, perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya berkenaan tempoh masa yang diberikan kepada Umno untuk membuat keputusan berkaitan MN dan Perikatan Nasional (PN).
PAS memeterai piagam MN dengan Umno ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang, namun menyertai Perikatan Nasional – yang ditunjangi Bersatu – selepas membentuk kerajaan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Hubungan Umno-PAS kemudian menjadi semakin tegang apabila pemimpin kedua-dua parti – termasuk di peringkat tertinggi – saling berbalas kecaman.
Malah ada desakan daripada pihak tertentu agar MN diisytiharkan sudah berkubur.
Sementara itu Takiyuddin menegaskan PAS sentiasa mengutamakan penyatuan ummah dan perpaduan nasional.
Justeru menurutnya, apa sahaja usaha menuju ke arah itu akan diterokai termasuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh mewujudkan penyatuan ummah.
“Tak kiralah parti mana, kita nak bersatu. Kita tidak putus hubungan dengan MN, itu jelas. PAS tidak putus hubungan dengan MN,” tegasnya yang juga menteri tenaga dan sumber asli.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/63066