TIDAK SEPERTI PKR, UMNO TELAH TERLEPAS PELUANG TONJOL IMEJ LEBIH BAIK

 

Keputusan pemilihan PKR sudah hampir seminggu berlalu dan pemenang bagi jawatan-jawatan utamanya telah pun diketahui umum.

Paling menarik dan diperkatakan ramai tentunya ialah kemenangan Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR setelah menewaskan pencabarnya, Saifuddin Nasution Ismail dengan majoriti besar serta bergaya.

Begitu pun, sehingga hari ini soal berkaitan pemilihan PKR itu masih menjadi tajuk perbualan yang menarik dalam banyak kelompok masyarakat.

Kemenangan Rafizi dan keberanian PKR mengadakan pemilihan parti di saat-saat tarikh PRU15 hanya di ambang mata rata-rata mendapat pujian dan memberi kesan yang positif kepada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu.

Bahkan, ada sekelompok orang masjid yang berusia lewat 70-an ketika berbual-bual turut meletakkan harapan tinggi bahawa kemenangan Rafizi akan membawa sesuatu yang baik untuk masa depan negara.

Bayangkan kalau golongan tua pun menerima kemenangan Rafizi dengan keyakinan yang positif, sudah tentu generasi pertengahan dan anak-anak muda sekarang ini melihat PKR dengan mata yang lebih bercahaya lagi.

Hakikat yang tidak dinafikan di sini, pemilihan parti dan perubahan dalam kepimpinan sesebuah parti sebenarnya adalah penting dan mampu memberi imej yang lebih baik daripada sebelumnya.

Parti dan mereka yang menjadi pemimpin adalah harapan rakyat untuk membawa perubahan dan menjadikan keadaan negara ini sama ada menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Kalau pemimpin yang menerajui sesebuah parti itu diyakini rakyat dan wibawanya tidak diragui, ia dengan sendirinya memberi harapan cerah kepada masa depan parti tersebut untuk meraih lebih sokongan dan kepercayaan.

Dalam hal ini, sementara PKR melalui pemilihannya yang baru berakhir dilihat telah berjaya memberi kesan yang sangat positif kepada masa depan parti itu dari segi penerimaan serta keyakinan rakyat, UMNO yang asyik menangguh-nangguhkan pemilihan sebaliknya terlepas peluang membina imej barunya.

Walaupun yang menjadi Perdana Menteri ketika ini adalah Ismail Sabri Yaakob yang mewakili generasi pasca merdeka yang tiada skandal dan tiada isu peribadi, malangnya beliau hanyalah Naib Presiden UMNO.

UMNO secara umumnya masih dalam genggaman kuasa Ahmad Zahid Hamidi selaku Presidennya yang banyak waktu perlu memperuntukkan masa untuk turun naik mahkamah kerana menghadapi 87 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan pula adalah pemimpin yang gagal lantaran di bawah kepimpinannyalah UMNO dan BN Negeri Sembilan buat pertama kali dalam sejarah kalah pilihan raya serta kehilangan kuasa pada 2018 lalu.

Pemimpin yang tak serik-serik diidolakan UMNO ialah Najib Razak yang dalam PRU14 lalu, dek kerana skandal 1MDB dan isu-isu peribadi yang melingkari batang tubuhnya telah mengakibatkan BN kehilangan kuasa yang dipegang sejak merdeka.

Lebih daripada itu, sama seperti Zahid Hamidi, Najib bukan saja perlu turun naik mahkamah dalam beberapa pertuduhan yang belum selesai, beliau juga sudah disabitkan bersalah dalam kes rasuah SRC International yang kini dalam proses rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Meski demikian, dalam banyak keadaan, baik ketika PRN Melaka dan Johor baru-baru ini atau PRU15 akan datang, di sebalik Zahid Hamidi dan Mohamad atau Tok Mat adalah peneraju parti yang sah, kedudukan Najib sepertinya lebih tinggi lagi di mata sesetengah mereka yang taksub seumpama sebagai ketua umum atau pemimpin de facto bagi UMNO dan juga BN.

Sudahlah pemilihan ditangguh-tangguhkan dengan pelbagai cara yang bermakna menutup peluang untuk pemimpin baru tampil ke hadapan, bagaimanakah UMNO mampu meraih sokongan rakyat dengan pemimpin-pemimpin sedia bermasalah terus tercongok mengusai parti?

Cuba dilihat di sudut yang positif, jika pemilihan UMNO tidak ditangguhkan dan parti itu kemudian berjaya menampilkan pemimpin-pemimpin baru yang tiada isu, tiada skandal dan tiada kes mahkamah dalam barisan kepimpinan barunya, bukankah ia sesuatu yang amat positif?

Tidakkah ia sebenarnya mampu melonjakkan lagi imej dan keyakinan rakyat terhadapnya?Malangnya, dengan menangguhkan pemilihan dan meminda perlembagaan yang memberi ruang pilihan raya diadakan terlebih dahulu dan sekurang-kurangnya enam bulan kemudian barulah pemilihan parti diadakan, UMNO sebenarnya, dek kerana perangai rakus pemimpinnya sendiri, dengan sengaja melepaskan peluang keemasan untuk membina dan menonjolkan imejnya yang lebih baik. – ShahbudinHusin 02/06/2022.



No comments: