SAMA-SAMA TIMBALAN PRESIDEN, TAPI BERANI TAK TOK MAT BERDEBAT DENGAN RAFIZI?

 

Melihat cara Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan memperlekeh debat Anwar Ibrahim dengan Najib Razak baru-baru ini, macamlah beliau seorang tokoh pendebat terulung di negara ini.

Katanya, Anwar sudah tiada idea apabila membangkitkan soal audit forensik dalam usaha menyelamatkan Sapura Energ Berhad.

Secara sinis, beliau menasihati Najib agar tidak lagi melayan perdebatan dengan Anwar yang hanya tahu mengemukakan idea basi.

“Lain kali tak payah berdebat dengan orang macam ini Datuk Seri (Najib)…buang masa idea basi.

“Nak ambil syarikat ABC pun kita buat audit forensik, apatah lagi ini syarikat minyak dan gas terbesar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN di Kuala Lumpur.

Nampak ghairah memperlekeh kemampuan orang lain, tapi adakah Mohamad atau Tok Mat sendiri seorang yang hebat berdebat?

Realitinya, Tok Mat bukan saja diketahui tidak pernah ada rekod berdebat, malah berucap di DUN Negeri Sembilan ketika memegang jawatan Menteri Besar sebelum ini pun hanyalah boleh dikategori bertahap biasa-biasa saja.

Rasa-rasanya Rais Yatim dan Isa Samad yang sebelum itu pernah jadi Menteri Besar Negeri Sembilan jauh lebih memukau dan banyak idea ketika berucap.

Lebih daripada itu, Tok Mat juga adalah pencipta sejarah di Negeri Sembilan kerana berjaya membawa UMNO dan BN jatuh ke tangan PH ketika era pemerintahannya.

Sementara semua Menteri Besar lain mencipta kejayaan, beliau sebenarnya adalah pemimpin yang gagal.

Jadi, kalau dia sendiri tiada rekod berdebat, bukan pula dalam kategori pendebat yang hebat, malah mencipta rekod kegagalan kepada UMNO dan BN, atas dasar apakah perlekehan yang cuba dilakukannya itu?

Atau barangkali Tok Mat berasakan beliau lebih hebat daripada Najib kalau berdebat dengan Anwar?

Tetapi, sebelum berangan-angan nak berdebat dengan Anwar, lebih baik Tok Mat cuba berdebat dulu dengan Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR yang baru.

Lagi pun, kedua-dua mereka sama-sama berjawatan timbalan presiden, rasanya sangat sesuai dan padan kalau digandingkan di atas pentas perdebatan.

Apa macam Tok Mat, ada berani tak? – ShahbudinHusin 01/06/2022.