MASA PKR BERSATU HADAPI BN – PN
Masa PKR bersatu hadapi BN – PN
Amanah yang diberikan kepada pasukan “Ayuh Malaysia” tidak akan disia siakan terutama dalam memperkukuh parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Hal itu diungkapkan oleh Naib Presiden KEADILAN yang baharu, Chang Lih Kang.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua anggota parti yang telah memberi sokongan kepada saya dan pasukan
“Sesungguhnya saya dan rakan-rakan akan menggalas amanah ini dengan sebaiknya bagi memperkasakan parti untuk mencapai kemenangan dalam PRU akan datang.
“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat sukarelawan pasukan “Yakini Rakyat”, yang bertungkus-lumus menganjurkan program-program jelajah negeri serta kerja-kerja kempen di peringkat cabang. Tanpa usaha dan kegigihan kalian, saya tidak mungkin dapat menikmati kemenangan ini,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di bawah pimpinan Dr Zaleha Mustafa yang telah berjaya memastikan pemilihan berjalan dengan lancar walaupun masa persediaan yang diberikan begitu singkat.
Kepada keluarga besar KEADILAN, Lih Kang berkata, tibalah masanya untuk mereka bertaut kembali menentang musuh bersama BN – PN menuju pertempuran akhir yang paling mencabar.
“Seperti yang kita sedia maklum “core business” sesebuah parti politik adalah menang dalam pilihan raya.
“Selepas pemilihan parti selesai, kita akan menghadapi PRU dalam tempoh yang singkat. Maka, saya ingin menjemput seluruh anggota parti untuk mengambil pendekatan “biduk lalu, kiambang bertaut”.
“Mudah-mudahan, kita akan mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam PRU yang akan datang,” katanya lagi.