SELANGOR, PERAK PENENTU NASIB RAFIZI DAN SAIFUDDIN


 Pemilihan PKR yang bermula pada 13 Mei lalu menyaksikan hanya lapan peratus anggota parti keluar mengundi, sekali gus menjadikan Selangor dan Perak yang akan mengadakan pemilihan hari ini sebagai tumpuan.

Seramai 331,922 ahli PKR di Selangor hari ini layak memilih kepimpinan baru parti itu secara fizikal di kesemua 22 cabang PKR.

Di Perak, seramai 81,869 ahli PKR di negeri itu akan mengundi secara fizikal di 24 cabang.

Selain mencatatkan jumlah anggota tertinggi, Selangor juga mempunyai 30,621 anggota yang layak mengundi secara atas talian.

Menurut satu sumber parti, Selangor dan Perak kini menjadi tumpuan susulan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah selepas pemilihan fizikal di 10 negeri.

“Selepas lapan hari, jumlah yang keluar mengundi hanya lapan peratus sahaja. Ini termasuk pemilihan atas talian (Online-Voting) di mana seramai 67,419 ahli parti itu telah mengundi melalui aplikasi ADIL sejak 18 Mei hingga semalam,” katanya.

Sumber berkata pemilihan di Selangor dan Perak juga akan menyaksikan pusingan terakhir bagi kempen Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR sebelum pemilihan berakhir esok.

Menurut satu lagi sumber, Saifuddin kini sedang mendahului di Selangor dengan menguasai sekurang-kurangnya 17 daripada 22 cabang.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan Rafizi masih mampu memberi saingan kepada Saifuddin di negeri itu.

Sementara itu, katanya, Rafizi mampu membuat kejutan di Perak.

PKR Perak sebelum ini dipengerusikan oleh seteru politik Rafizi dalam PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Menurut sumber berkenaan, daripada 24 cabang PKR di Perak, sembilan cabang dimenangi Rafizi tanpa bertanding dengan enam daripadanya memberikan sokongan terbuka kepada bekas naib presiden PKR itu.

“Dua cabang mengambil pendirian 50-50, manakala hanya satu calon ketua cabang yang menang tanpa bertanding di Perak menyatakan sokongan kepada Saifuddin.

“Selain itu, 24 calon yang bertanding bagi jawatan ketua cabang di 15 cabang berpihak kepada Rafizi, sementara tujuh calon jawatan ketua cabang sokong Saifuddin dan tiga lain mengambil pendirian terbuka atau 50-50,” katanya.

Selain Perak, Sarawak dan Sabah juga mengadakan pemilihan secara fizikal pada Ahad ini.

Keputusan bagi semua jawatan dijangka akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam masa 24 jam selepas tamat pemilihan bagi semua jawatan dipertandingkan.