Tak wujud istilah ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam MN, kata Takiyuddin
PETALING JAYA: Tiada istilah “nyawa-nyawa ikan” untuk gagasan Muafakat Nasional (MN), selagi tiada pihak yang membatalkan piagam dibentuk menerusi kerjasama politik antara PAS dan Umno itu, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, bukan mudah untuk PAS dan Umno mewujudkan MN, selepas kedua-dua parti bertembung dalam arena politik negara selama berpuluh-puluh tahun.
“Saya tidak tahu yang disebut ‘nyawa-nyawa ikan’ itu siapa, sebab MN ada banyak pihak. Namun bagi kita, untuk mewujudkan gagasan MN ini bukan satu usaha mudah, Alhamdulillah kita berjaya mengorak satu langkah yang berkesan untuk menyatukan umat Melayu dalam satu gagasan, iaitu MN.
Takiyuddin yang juga menteri tenaga dan sumber asli berkata, PAS masih yakin MN merupakan gagasan terbaik bagi menyatukan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan kaum.
Katanya, MN masih wujud dan diterima sehingga kini, malah tiada siapa yang menandatangani perjanjian pembatalan gagasan itu.
“Setakat saya tahu, tidak pernah (sesiapa) menandatangani satu dokumen membatalkan MN, dia macam kita buat satu perjanjian antara pihak A dan B, selagi A dan B tak membatalkan perjanjian itu, ia hiduplah.
“Sehingga mana-mana pihak ini membuat satu perjanjian dipanggil ‘revocation’, iaitu membatalkan perjanjian itu, barulah terbatal. Ini tak ada orang membatalkan MN, (bermakna) MN masih hiduplah, tak timbul ‘nyawa-nyawa ikan’, hidup itu hiduplah. Kita kena optimis.”