PETALING JAYA: Nilai ringgit susut menunjukkan dunia sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata penyelesaian jangka pendek dan pembaikan segera dilakukan kerajaan masih tidak mencukupi.
“Kita memerlukan kepimpinan yang pertamanya menginspirasikan keyakinan rakyat sebelum kita bermimpi berinspirasi keyakinan luar dan seterusnya pelaburan.
“Perancangan bersesuaian bagi pemulihan sepatutnya memerlukan pemikiran kompleks, selain kemampuan memahami kerumitan ekonomi semasa,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu yang juga bekas menteri kewangan, menjelaskan rakyat Malaysia terperangkap dalam pusingan di mana rakyat berhempas pulas bekerja dan mendapat hasil sedikit, manakala harga barang keperluan pula melambung tinggi.
“Saya menggesa kerajaan memberi penyelesaian jangka panjang kepada rakyat yang mampu menginspirasikan keyakinan yang diperlukan kita semua.
“Bekerja untuk rakyat menjadi perkara terpenting bagi membawa negara ini kembali dan anda, rakyat, layak mendapat ganjaran setimpal bagi penat lelah bekerja,” kata presiden PKR itu.
Nilai ringgit melepasi RM4.40 berbanding 1 USD minggu lalu sejak bermulanya pandemik Covid-19, namun pulih sedikit pada kadar RM4.38 berbanding 1USD, pada Jumaat.