Mansuh AP tak membantu, panggil sidang khas parlimen
Pemansuhan permit import (AP) makanan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan baru baru ini tidak akan menyelesaikan kenaikan harga bahan mentah makanan.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean, tindakan menghapus AP itu hanya membuktikan Ismail tidak pernah memandang serius krisis sekuriti makanan dan mencadangkan penyelesaian separuh masak.
“Amaran krisis sekuriti makanan akibat wabak Covid-19 telah diberikan seawalnya pada tahun 2020 dan isu ini bukan suatu perkara baharu, kini ia menjadi isu tumpuan dunia selepas pencetusan peperangan Rusia dan Ukraine.
“Dengan perkembangan hari ini, terbukti Jawatankuasa Jaminan Sekuriti Makanan yang ditubuhkan pada tahun 2020 dalam usaha menyiapsiaga negara kita untuk mendepani krisis sekuriti makanan hanya satu slogan mainan politik, yang mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat (dalam jangka panjang),” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Loh, rakyat tertunggu tunggu penyelesaian komprehensif mengenai masalah kenaikan harga bukannya tindakan ad hoc yang tidak menjamin kestabilan harga.
Justeru, beliau mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen dipanggil untuk membahaskan cadangan penyelesaian krisis harga makanan yang tuntas berbanding pemansuhan AP yang kabur kesannya.
“Kita seluruh rakyat Malaysia sebenarnya menanti nantikan pengumuman dasar, perancangan dan tindakan holistik jangka masa pendek dan panjang untuk menangani krisis sekuriti makanan negara dan isu ini tidak akan diselesaikan dengan hanya pengumuman ringkas. Ini adalah ibarat solusi “Panadol”.
“PM harus membentangkan pelan tindakan dengan pendekatan Keseluruhan Kerajaan (Whole-of-government approach) untuk menangani krisis sekuriti makanan dan mengadakan sesi konsultasi bersama semua pemegang taruh yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan, dan juga memanggil Sidang Parlimen Khas pada kadar segera untuk mencari penyelesaian bersama sama tanpa mengira fahamam politik demi kepentingan rakyat,” kata Loh yang merupakan mantan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat