Dahului Saifuddin lebih 10,000 undi, Rafizi hampiri jawatan no 2 PKR

 


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendahului di tujuh negeri
 dengan satu negeri sahaja dimenangi pesaingnya, Saifuddin Nasution
 Ismail iaitu di Sabah.

PETALING JAYA: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli kini mendahului di tujuh negeri selepas meraih 51,378 undi, mengatasi pesaingnya Saifuddin Nasution Ismail dengan kelebihan 10,839 undi.

Menurut data terkini proses pengiraan undi, Rafizi dilihat menguasai Selangor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Sehingga kini, Saifuddin hanya mendahului saingannya itu di Sabah sahaja.

Saifuddin ketika ini meraih 40,539 daripada lapan negeri berkenaan.

Pemilihan di Selangor dan Sabah cukup penting mengambil kira dua negeri terbabit mempunyai jumlah keahlian tertinggi.

Rafizi di Selangor mengumpul 25,449 undi, manakala Saifuddin 22,101 undi, manakala di Sabah bekas ahli Parlimen Pandan itu mendapat 7,167 undi, dengan Saifuddin mengumpul 7,957 undi iaitu kelebihan 790 undi.

Di Kedah, Rafizi mendapat 4,761 undi manakala Saifuddin 2,724 undi.

Di Kelantan, Rafizi meraih 3,222 undi dengan Saifuddin 2,132 undi.

Di Melaka, Rafizi terus melebarkan jumlah undi selepas mendapat 2,427 undi, di Negeri Sembilan 5,522 undi.

Di Johor, beliau memperoleh 3,967 undi manakala di Pahang 1,863 undi.

Mengambil kira situasi semasa pengiraan undi yang masih berjalan, Rafizi dilihat mempunyai potensi memenangi kedudukan nombor dua parti itu, bagi berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jawatan tertinggi presiden, dimenangi Anwar Ibrahim tanpa bertanding.


No comments: