TIADA PEMIMPIN PH SEDIA BEKERJASAMA DENGAN MUHYIDDIN – ANWAR

 

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui Pakatan Harapan (PH) pernah mengadakan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), namun tiada sebarang keputusan dicapai.

“Jadi jangan cakap dan beri gambaran bahawa PH sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 nanti,” kata Anwar, menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, PH tidak pernah bersetuju dengan kerjasama tersebut, malah tiada pemimpin dalam gabungan itu menyambut cadangan dibuat Muhyiddin Yassin.

“Jadi kenapa kita mahu riuh rendah? Keputusan PH sebelum ini adalah kita mahu kuatkan jentera parti masing-masing dan PH.

“Kalau boleh, kita mahu mengadakan program jelajah seluruh negara semula. Jadi kita jangan biarkan kenyataan Muhyiddin mempengaruhi kita melainkan kita sambut cadangannya,” kata Anwar.

Anwar sebelum itu diminta mengulas mengenai wujudnya kebimbangan dalam kalangan pemimpin PH bahawa pengundi bukan Melayu akan beralih sokongan atau memboikot PRU15 jika cadangan kerjasama PH-PN menjadi kenyataan.

Sementara itu, Anwar mempertahankan jumlah 12% ahli PKR yang keluar mengundi pada pemilihan parti dengan membandingkannya dengan prestasi parti lain.

“Ada orang bangkitkan peratusan keluar mengundi untuk pemilihan PKR kali ini hanya 12%, sedangkan pada pemilihan 2018 hanya 10% sahaja.

“Sejumlah 12% itu mewakili 100,000 ahli. Saudara boleh sebut parti mana yang ahli secara individu keluar undi sebanyak itu,” katanya.

Pada 27 Mei, penganalisis dilaporkan berpendapat, pemilihan PKR tahun ini, yang menyaksikan hanya 12.32% daripada 1.1 juta ahli keluar mengundi, mungkin akan menimbulkan keraguan terhadap pemegang jawatan.

Azizuddin Mohd Sani daripada Universiti Utara Malaysia berkata, peratusan yang terlalu rendah itu juga menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar keahlian PKR.

Menurut dokumen kiraan akhir yang dilihat FMT, hanya 137,803 daripada 1,118,423 ahli yang layak keluar mengundi secara fizikal atau dalam talian. Ini bagaimanapun tidak termasuk lapan bahagian yang perlu melalui pemilihan semula susulan gangguan pada pemilihan hujung minggu lepas.

Jumlah itu menunjukkan undian dalam talian disambut baik dengan 70,200 daripada 76,932 yang mendaftar mengundi, namun peratusan keluar mengundi secara fizikal hanya 59,483 daripada 1.1 juta ahli yang layak.

Jawatankuasa Pemilihan Parti menetapkan proses pengundian semula melibatkan 13 bahagian di lima negeri dijalankan semalam dan hari ini, iaitu lapan cabang yang mengalami masalah teknikal dan lima cabang melalui proses bantahan.

No comments: