Kecewa prestasi PH punca ahli PKR tak keluar undi, kata kumpulan pro-Anwar


Faiz Zainudin
 -

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Kumpulan Otai Reformis berkata, keahlian PKR sebanyak 1.2 juta orang
 sebenarnya tidak tepat dan jumlah itu menyebabkan peratusan keluar
 mengundi pada pemilihan parti kali ini kelihatan rendah.

PETALING JAYA: Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi rendah pada pemilihan PKR kali ini disebabkan ramai ahli parti itu tidak berpuas hati dan kecewa dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan mentadbir Putrajaya.

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, semasa menjadi kerajaan, PH gagal menunaikan segala janjinya, termasuk gagal menghapuskan tol, kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan menutup Lynas.

“Faktor lain yang menyebabkan peratusan mengundi rendah kerana ramai ahli PKR berpandangan kemenangan Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR kali ini juga sudah memadai, dengan menganggap jawatan lain dalam parti tidak penting untuk diundi,” katanya kepada FMT.

Razak juga mendakwa, keahlian PKR sebanyak 1.2 juta orang sebenarnya tidak tepat kerana ia merangkumi jumlah kumulatif sejak parti itu ditubuhkan 23 tahun lalu.

Katanya, dengan mengambil kira jumlah itu juga menyebabkan peratusan keluar mengundi dalam pemilihan parti kelihatan rendah.

“Pada era reformasi 1998 dan tahun seterusnya ekoran penangkapan Anwar, beribu-ribu orang menjadi ahli parti, isi borang keahlian semasa menghadiri ceramah di merata tempat untuk menyokong pembebasan Anwar ketika itu.

“Ramai dalam kalangan mereka yang menjadi ahli parti berikutan gelombang reformasi tersebut tidak aktif dan hanya segelintir yang aktif dalam politik.

“Apabila Anwar dibebaskan dari penjara, maka mereka berpandangan setakat itu sahaja perjuangan mereka dan selepas 23 tahun parti ditubuhkan, maka ramai ‘pioneer’ telah berumur, tidak lagi aktif atau meninggal dunia, selain mereka yang tidak aktif sudah tidak lagi berminat untuk berpolitik,” katanya.

Razak bagaimanapun berkata, walaupun PKR kalah teruk dalam empat pilihan raya negeri (PRN), ia tidak bermakna parti itu sudah hilang sokongan, sebaliknya ia akan bangkit dalam pilihan raya umum ke-15 selepas barisan kepimpinan baharu dipilih.

Katanya, PKR harus dilihat berani mendepani isu rakyat akar umbi bagi menarik minat ahli parti dan rakyat umum, tetapi pimpinan PKR kelihatan tidak mengambil peluang daripada isu kenaikan harga barang baru-baru ini.

“Isu banjir susulan penebangan hutan secara berleluasa tidak dikupas pimpinan parti. Isu kehilangan hampir 800,000 pekerjaan serta peluang perniagaan kecil dan sederhana selepas pasca Covid-19 tidak diperjuangkan sebaik mungkin.

“Jika PKR kembali ke landasan asal dengan memperjuangkan isu rakyat, parti akan kembali disokong dan memenangi pilihan raya, termasuk di kawasan yang jumlah ahlinya rendah,” katanya.

Masalah internet

Ketua PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, peratusan mengundi rendah tidak bermakna ahli kecewa dengan parti, sebaliknya ia disebabkan masalah teknikal kerana terdapat bahagian yang tidak mempunyai tahap capaian internet baik menyebabkan pengundian sukar dijalankan.

“Masalah internet ini bukan masalah parti, tapi isu teknikal, ramai ahli yang nak mengundi, tetapi tidak dapat menunaikannya kerana masalah internet. Buktinya, ramai ahli tulis surat, buat rayuan untuk adakan pemilihan semula. Kalau internet tidak bermasalah, jumlah ahli keluar mengundi lebih 40%.”

Media sebelum ini melaporkan hanya 12% atau 136,000 ahli keluar mengundi dalam pemilihan PKR 2022 yang selesai Ahad lalu, manakala undian semula di beberapa bahagian selesai semalam.

Pemilihan PKR 2022 diteruskan dengan pencalonan bagi pemilihan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Pemuda dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian mulai hari ini hingga 31 Mei ini.


No comments: