Tian Chua umum tidak pertahan Naib Presiden KEADILAN



 

Salah seorang pimpinan awal reformasi yang memegang jawatan utama dalam KEADILAN sejak 2 dekad lalu, Tian Chua, hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya.

Menurut Tian, tidak semestinya beliau berada di posisi utama parti untuk menyumbang memperkukuhkan KEADILAN dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

"Saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam jawatan pusat untuk pemilihan kali ini dan saya telah membuat keputusan setelah memikir secara panjang.

"Saya telah berkhidmat dalam parti ini dalam pimpinan pusat, tetapi saya juga percaya bahawa sekiranya saya ingin berkhidmat dan memberi sumbangan kepada parti, saya tidak semestinya menduduki mana mana jawatan tinggi kerana jawatan itu hanyalah salah satu saluran bagi saya seorang pemimpin dan aktivis yang sudah senior

"Saya yakin saya ada cara lain untuk memperkukuhkan parti," katanya dalam siaran portal berita Sumberkini, petang tadi.

Kata mantan Ahli Parlimen Batu selama dua penggal itu, pemilihan kali ini yang begitu hampir dengan PRU 15 menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk mengukuhkan parti berbanding berkempen bagi mengekalkan kedudukan sebagai naib presiden.

"Kali ini saya rasa pemilihan diadakan dalam satu keadaan yang sangat mencabar, di mana kita telah melihat PRU sangat dekat dan juga kita perlu menyusun balik kerja kerja di akar umbi.

"Kita harus memperkukuhkan lagi barisan pembangkang supaya kita dapat bersama berhadapan dengan BN yang kini menganggap mereka makin kuat

"Ini adalah satu cabaran yang besar. Bagi saya, saya tidak perlu memegang jawatan tinggi tetapi saya tetap bersama parti dan saya cuba dengan apa sahaja yang boleh untuk memastikan parti ini menang dalam PRU akan datang," katanya lagi.

Untuk rekod, Tian Chua merupakan aktivis reformasi antara terawal menyertai KEADILAN pada 1999. Beliau kemudian diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan pada 2004 dan dipilih sebagai Naib Presiden pada 2010 sehingga sekarang.

 

No comments: