RAKYAT LEBIH GEMBIRA JIKA PM TIDAK TUNDUK KEPADA DESAKAN UMNO

 

Berikutan gagalnya usul kerajaan berkaitan Sosma mendapat kelulusan di Dewan Rakyat minggu lalu, ia dengan segera diambil kesempatan oleh kelompok pro Zahid Hamidi dan Najib Razak dalam UMNO untuk terus mendesak agar PRU15 diadakan dengan segera.

Hujah mereka ialah gagalnya usul kerajaan itu dengan jelas memperlihatkan betapa tidak kukuhnya kerajaan sedia ada serta bagaimana buruknya apabila majoriti yang lebih baik tidak dimiliki.

Bukan saja usul kerajaan gagal mendapat kelulusan itu merupakan sejarah yang pertama kali berlaku di negara ini, bahkan ia juga dianggap memburukkan imej negara di mata dunia.

Lantas mereka berhujah, PRU15 yang bertujuan mendapatkan mandat rakyat yang lebih besar sudah tidak boleh dielakkan lagi demi kestabilan serta kebaikan negara.

Benarkan PRU15 perlu diadakan dengan segera dan tragedi usul kerajaan gagal mendapat kelulusan merupakan hujah ampuh bahawa Perdana Menteri tidak harus mengelak lagi daripada membubarkan Parlimen?

Sebenarnya jika kita tinjau secara terbuka dan meneliti lebih banyak pandangan daripada berbagai lapisan rakyat, lebih ramai yang tidak gembira jika PRU15 diadakan dalam waktu terdekat ini.

Bagi mereka, dalam keadaan negara belum pulih sepenuhnya daripada wabak Covid19, fasa endemik dan pembukaan sempadan negara hanya bermula 1 April akan datang serta ekonomi belum benar-benar dipulihkan, mengadakan PRU15 pada ketika ini adalah tidak sesuai sama sekali.

Tidak saja dibimbangi, kes akan melonjak kembali, bahkan tentu saja akan menyebabkan pemulihan ekonomi yang menjadi harapan semua akan jadi terganggu akhirnya.

Keadaan itu, mahu tidak mahu, akan menyebabkan rakyat juga yang akan menanggung deritanya.

Dalam hal ini, tidak saja golongan peniaga dan pekerja yang sedang bergelut memulihkan kehidupan menolak perlunya PRU15 diadakan dengan segera, rata-rata rakyat biasa dan orang kampung turut tidak menyetujuinya.

Fakta yang tidak harus diabaikan tentang rasa tidak setuju itu ialah bila mana peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRN Melaka dan Johor baru-baru ini.

Keengganan ramai keluar mengundi itu adalah disebabkan mereka bosan dan letih dengan politik, sebaliknya lebih memikirkan soal kelansungan untuk meneruskan kehidupan.

Ini bermakna, jika kita benar-benar meneliti, pandangan yang mahukan PRU15 diawalkan hanyalah merupakan pandangan minoriti oleh UMNO saja.

Daripada 3.4 juta ahli UMNO, bukan semuanya pun mahu dan setuju PRU15 diadakan lebih awal dan segera.

Ada juga yang tidak setuju dan lebih gembira jika PRU15 diadakan tahun depan iaitu apabila penggal Parlimen sekarang tamat tempohnya.

Ramai kini bahkan mulai sedar, tindakan kelompok tertentu UMNO berterusan mendesak dan menekan agar PRU15 diadakan segera bukanlah sangat untuk kestabilan atau demi kepentingan negara, tetapi lebih bersifat untuk kepentingan peribadi mereka.

Dengan ada yang sudah dijatuhi hukuman bersalah dan yang lain sedang dalam perbicaraan, mereka ini sebetulnya dilihat lebih terdesak untuk PRU15 segera dan mandat baru diperolehi dengan harapan sesuatu manfaat boleh diraih daripadanya.

Itu pun jika rakyat benar-benar memenangkan BN dalam PRU15 segera yang mereka inginkan itu?

Bagaimana jika rakyat tiba-tiba berubah dan kebosanan yang melanda seperti di Melaka dan Johor sehingga ramai yang malas keluar mengundi itu bertukar menjadi keinginan yang meluap-luap mahu menukar kerajaan, lalu berduyun-duyun memenuhi ruang menunaikan tanggungjawab?

Sebab itu, Ismail Sabri Yaakob harus meneliti dan bertahan dulu dengan segala desakan serta tekanan daripada UMNO itu.

Beliau harus sedar keinginan sebenar majoriti rakyat dan menghormati sama keinginan kelompok yang lebih ramai yang tidak mahu dan tidak sedia berdepan PRU dalam waktu terdekat ini.

Ismail Sabri yang tugas utamanya sebagai Perdana Menteri adalah memberi kebahagian kepada rakyat, pasti akan lebih disenangi dan disanjungi jika tidak mudah mengalah dengan desakan daripada mereka yang sebenarnya hanya memperalatkan nama UMNO untuk kepentingan diri mereka sendiri semata-mata.

PRU15 di tahun 2023 lebih menggembirakan rakyat, sekaligus semua orang pun dalam keadaan sedia serta tidak bosan lagi pada ketika itu. - ShahbudinHusin 26/03/2022.