Sambutan etnik Cina: Najib terdesak buat 'drama' sokongan bossku

 



POSTED BY   AMIRUDDIN AHMAD


Siri jelajah bekas Perdana Menteri Najib Razak menemui dan berbincang bersama beberapa persatuan Cina sejak kebelakangan ini, serta terbaharu di Pulau Pinang disifatkan sebagai langkah terdesak atau desperado bagi menggambarkan sokongan ke atas beliau.

Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Pulau Pinang, Amir Ghazali, tidak ada apa yang istimewa dengan sokongan yang ditunjukkan oleh para pemimpin persatuan Cina tersebut di Pulau Pinang kerana negeri itu bukanlah kubu BN.



"Saya membaca berita kunjungan Najib yang digambarkan sebagai 'hero' turun ke Pulau Pinang baru-baru ini. Kami selaku rakyat negeri ini 'terhibur' dengan dakwaan-dakwaan mengatakan sokongan kaum Cina sudah kembali bersama BN, dengan rentetan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan juga sambutan kaum Cina kepadanya di negeri ini.

"Saya melihat ini satu dakwaan yang bersifat 'simplistic' semata-mata tanpa berpijak di bumi nyata. Dua PRN itu bukan petanda trend undian di peringkat PRU.

"Para penyokong 'bossku' juga mengambil kira kehadiran ratusan orang yang hadir ke programnya di Pulau Pinang sebagai petanda baik akan kembalinya Najib di hati rakyat negeri, khususnya kaum Cina.

"Siapa pun boleh mengatur orang-orang atau penyokong yang masih ada untuk ditumpukan hadir ke satu-satu himpunan atau ceramah. Kami tahu ramai yang hadir adalah saki-baki penyokong 'bossku' yang telah disusun awal untuk memenuhi acara tersebut. Itu saja," katanya.

Menurut Amir lagi, rakyat Pulau Pinang lebih lebih lagi etnik Cina tidak mudah diperdaya oleh Najib apatah lagi Ahli Parlimen Pekan itu telah didapati bersalah oleh mahkamah.

Malah katanya, tindakan Najib lebih dilihat kepada meraih simpati rakyat dan hanya menunjukkan kepada rakyat betapa teruknya pemimpin BN dalam 'memainkan isu' demi survival mereka.

"Rakyat bijak menilai, bagaimana seorang yang sarat dengan tuduhan mahkamah yang bakal ke penjara dalam masa terdekat. Maka tindakan atau stunt ala desperado diperlukan untuk meraih simpati.

"Rakyat Pulau Pinang masih ingat diskriminasi dan bagaimana kami dianaktirikan oleh Najib semasa beliau menjadi PM dulu, hanya kerana negeri ini ditadbir oleh kumpulan yang tidak sehaluan dengannya.

"Justeru, saya ucap tahniah juga di atas pementasan drama yang boleh dijadikan kenangan terindah untuk di bawa ke penjara nanti oleh 'bossku'," kata Amir sinis.

Beliau juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memahami situasi politik semasa dan membuat perbandingan trend terkini. Iaitu semakin Umno-BN berkuasa, maka makin teruk rakyat dipermainkan dengan pelbagai drama.

Oleh itu, katanya, rakyat tidak boleh mengembalikan BN memerintah dalam Pilihan Raya Umum ke 15.



No comments: