BN mungkin perlu tubuh kerajaan dengan parti lain selepas PRU15, kata Ku Li

 

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun seronok dengan majoriti 2/3 dalam PRN Melaka dan Johor, hakikatnya BN tidak mendapat sokongan rakyat.

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Barisan Nasional (BN) mungkin terpaksa menubuhkan kerajaan melalui kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) bukan jaminan untuk parti itu meraih majoriti 2/3 dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, peratusan undi diterima BN ketika PRN tidak mencapai 50% dan menunjukkan rakyat belum yakin dengan Umno dan BN.

Selain itu katanya, sentimen di peringkat negara tidak sama seperti negeri kerana isu komuniti dan bersifat kenegerian banyak mendominasi kempen serta kehendak pengundi dalam PRN, tetapi sebaliknya jika berlaku PRU15.

“Kita menang di Johor sebab ramai tak keluar mengundi. Orang muda pun tak ramai yang keluar mengundi, begitu juga yang berada di Singapura tak pulang mengundi.

“Walaupun pemimpin seronok dengan kemenangan besar itu, tapi hakikatnya kita tak dapat sokongan rakyat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Peratusan keluar mengundi pada PRN Johor 12 Mac lalu adalah 54.92% dan PRN Melaka pada 20 Nov 2021 ialah 65.85%.

BN memenangi 40 daripada 56 kerusi di Johor dan 21 daripada 28 kerusi di Melaka.

No comments: