Rafizi tonjol pasukan hadapi pemilihan PKR?

 



Kempen Ayuh Malaysia anjuran Rafizi Ramli malam tadi dilancarkan bagi
 menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi PRU15.
 (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Majlis Pelancaran Ayuh Malaysia yang berlangsung semalam dilihat memberi gambaran terhadap barisan pasukan Rafizi Ramli yang akan bertanding pada pemilihan PKR Mei ini.

Sumber memberitahu, Rafizi yang akan bertanding Timbalan Presiden PKR memberi bayangan mengenai gandingannya yang akan bertanding empat jawatan Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.

“Ya, mereka yang tampil di pentas bersama Rafizi adalah ‘line up’ yang akan bertanding pada pemilihan PKR Mei ini.

“Usaha Ayuh Malaysia sebagai salah satu kempen Rafizi untuk pemilihan ini selain usaha menuju pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” kata sumber itu kepada FMT.

Dalam pentas tersebut, Nik Nazmi tidak hadir kerana berada di luar negara, namun beliau dalam kenyataannya menyambut baik kempen tersebut yang mengajak rakyat bergerak ke hadapan terutamanya berkaitan isu pendidikan.

Rafizi dan Nurul Izzah pernah menyepi seketika daripada arena politik susulan pertelingkahan dalaman PKR sebelum ini.

Pada Disember 2018, Nurul Izzah mengundurkan diri sebagai naib presiden PKR, jawatan yang dimenanginya dengan undian tertinggi dalam pemilihan parti.

Manakala pada 2019, Rafizi yang dilantik sebagai Naib Presiden PKR pula memilih untuk berehat daripada politik sebelum membuat kemunculan semula untuk bertanding Timbalan Presiden PKR Mei ini.

Kempen anjuran Rafizi malam tadi dilancarkan bagi menarik sokongan pengundi atas pagar ke arah menghadapi PRU15 dan pelbagai isu dikupas dalam sesi tiga jam itu antaranya berkaitan perumahan rakyat, isu pertanian dan pendidikan.

Mereka juga berikrar untuk membawa isu-isu rakyat menerusi aplikasi CISTA yang dibangunkan bagi membolehkan setiap rakyat Malaysia menjadi sukarelawan untuk berkhidmat membawa mesej perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Kempen itu dibuat selepas mengambil kira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan pandangan pelbagai pihak di dalam PKR.


No comments: