Pemilihan parti 2022 perkenal kaedah pemilihan bahru - Nik Nazmi


 

Proses pemilihan KEADILAN yang dijadual berlangsung pada April ini akan menggunakan beberapa kaedah baharu dalam penambahbaikan yang dicadang dan telah dipersetujui oleh parti.



Menurut salah seorang Ahli Jawatankuasa Sistem Pemilihan KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, proses pemilihan sejak 2014 'satu anggota satu undi' untuk semua jawatan akan ditambahbaik dan terhad kepada jawatan jawatan utama parti sahaja



"Banyak parti yang buat (sistem) satu ahli satu undi seperti KEADILAN tak ada yang benarkan undi untuk semua jawatan. Kalau wanita muda bawah 35 tahun mereka akan ada 6 set undi daripada Angkatan Muda KEADILAN Cabang, Wanita Cabang, Cabang, kemudian AMK Pusat, Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).



"Jadi memang sistem itu menggalakkan pengunaan cai dan tidak praktikal. Terlalu banyak dan mereka mengundi kerana nak habiskan senarai. Dia tak kenal pun calon," katanya.



Oleh itu, kata Nik Nazmi, boleh dilihat dalam pemilihan lalu calon Naib Presiden Nurul Izzah Anwar mendapat 90,000 undi sebagai calon teratas tetapi apabila pergi kepada MPP, undi yang paling tinggi adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebanyak 60,000 undi.



"Beza antara antara Nurul dan Amir ialah 30,000 yang undi. Ahli mengundi di atas (senarai) sahaja dan tidak pergi undi MPP



"Jadi sebab itu parti setuju kali ini satu anggota satu undi hanya untuk jawatan kanan di MPP, iaitu Presiden, Timbalan dan Naib.



"Wanita sama, Ketua Wanita, Timbalan dan Naib. AMK pun sama. Cabang kekal satu anggota satu undi," katanya dalam Majlis Penghargaan Pimpinan Akar Umbi dan Sukarelawan Banjir KEADILAN di Shah Alam, semalam.



Tambah Nik Nazmi, MPP akan dipilih menerusi undi perwakilan di kongres. Oleh itu, katanya perlu diselesaikan pemilihan Cabang dahulu dan tentukan siapa perwakilan ke kongres. Perwakilan akan tentukan siapa jadi MPP, MPP wanita dan MPP AMK.



Tegas Nik Nazmi, perlembagaan parti tidak menetapkan syarat satu anggota satu undi, cuma yang ditetapkan adalah pemilihan parti mesti dilaksanakan setiap 3 tahun.

 

No comments: