Penahanan beberapa individu berhubung kontroversi Kapal Tempur
Pesisir (LCS) baru baru ini tidak boleh dianggap bahawa kes telah ditutup dan
kerajaan tidak perlu lagi memantau projek berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, penahanan beberapa individu dalam kes tersebut seharusnya membawa kepada pendakwaan, kemudian kerajaan mesti memperbaiki peraturan agar pembaziran sama tidak berulang pada masa hadapan.
"Penahanan tidak boleh dianggap sebagai "tutup kes" atau "misi tercapai", kerana belum ada yang didakwa dan kerajaan semasa masih belum menggariskan secara terbuka dan komprehensif bagaimana mereka berhasrat untuk memastikan LCS akhirnya disiapkan atau masalah seperti ini tidak akan berulang.
"Pengajaran mesti diambil supaya negara tidak berdepan dengan belanjawan yang lebih besar untuk projek-projek yang bermasalah (pada masa hadapan)," katanya.
Nik Nazmi yang juga mantan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri ketika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa berkata, projek LCS bernilai RM9.128 bilion dan antara yang terbesar dalam perbelanjaan pertahanan itu sebelum ini telah dicemari beberapa kontroversi, termasuk kegagalan menghantar kapal seperti yang dijadualkan, kos berlebihan, bayaran yang dipertikaikan dan persoalan tentang bagaimana bayaran diberikan.
"Ia membuatkan kita semua berfikir, bagaimana projek sebesar ini diberi (kepada syarikat berkaitan) dan diuruskan.
"Pada saya, di sebalik penahanan itu rakyat Malaysia seharusnya diberitahu tentang gambaran menyeluruh mengenai kontroversi ini. Ia akan berlaku sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibenarkan meneruskan serta menyelesaikan tugasnya dalam isu ini," katanya.
Beliau berkata, PH tidak gagal dalam menguruskan isu LCS kerana Jawatankuasa tersebut bekerja dengan baik dan bergerak pantas sehinggalah berlaku pertukaran kerajaan yang menghalang segala proses dan pendedahan isu tersebut kepada rakyat secara telus.