KALAU RAKYAT KELANTAN MAHU ROYALTI, PASTIKAN PAS TEWAS PRU15!!

 

Pilihan raya ke 15 akan berlangsung tidak lama lagi. Keunikan pilihan raya kali ini ialah kerana adanya penglibatan berjuta-juta pengundi muda dan yang belum berdaftar, hampir 5 juta jumlahnya di seluruh negara.

Di Kota Bharu saja, dijangkakan ada pertambahan seramai 25,000 pengundi baru dalam pilihan raya akan datang. Ini bererti keputusan pilihanraya kali ini boleh memberi kejutan yang besar jika ramai pengundi baru ini keluar menunaikan tanggugjawab mereka.

Isu utama yang rakyat Kelantan perlu memberi perhatian berat kali ini ialah soal tuntutan royalti minyak terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat. Tuntutan sebanyak 5% dari hasil minyak dan gas sejak tahun 1975 melibatkan anggaran lebih RM20,000 juta atau RM20 bilion kepada dana Rakyat Kelantan.

Ini adalah jumlah wang yang besar yang Kerajaan Pusat terhutang kepada rakyat Kelantan. Royalti ini adalah berasas kepada perjanjian antara Pusat dan Negeri Kelantan pada tahun 1975 yang sahih.

Oleh sebab itu kita tidak faham mengapa PAS menarik balik tuntutan ini daripada dibicarakan di Mahkamah hanya kerana Kerajaan Pusat memberi RM400 juta sedangkan hak kita lebih daripada itu.

Hanya dengan memperolehi wang daripada Petronas itu barulah kita dapat membangunkan negeri Kelantan. Kita boleh bekal kepada rakyat air bersih yang cukup. Kita boleh menyediakan kilang kilang untuk memberi pekerjaan kepada anak muda.

Kita boleh menyediakan industri minyak yang besar seperti di negeri Sarawak, di mana hasil yang mereka perolehi lebih RM5,000 juta setahun itu dapat memperbaiki sekolah, menyediakan perumahan yang cukup dan juga membina hospital di daerah-daerah yang sesuai untuk menolong rakyat di pedalaman.

Sarawak boleh membuat tuntutan royalti dengan berjaya kerana mereka bersatu dan bermuafakat dengan kukuh sehinggakan kerajaan Pusat bersetuju dengan tuntutan mereka.

Pemimpin Kelantan sebaliknya hanya berpuas hati bila mereka dapat jadi Menteri dan ada Vellfire atau Alphard. Mereka tidak peduli terhadap kemiskinan rakyat.

Saya telah menghantar cadangan saya bagaimana industri minyak dan gas boleh dibangunkan di Kelantan kepada pimpinan UMNO.

Saya berpuas hati bahawa jika UMNO kembali berkuasa di Pusat, royalti minyak atau cash payments akan dibayar kepada Kelantan.

Kalau Sarawak ada PETROS atau Sarawak Petroleum, maka kita juga akan tubuhkan Kelantan Petroleum. Beribu pekerjaan dapat kita sediakan kepada anak muda Kelantan.

Perumahan yang cukup dapat kita bina. Sampah dapat kita kutip. Bayaran cukai tanah dan pembayaran pejabat tanah dapat kita kurangkan.

Bas perkhidmatan awam dapat kita sediakan dan tempat parking yang mencukupi dapat dibina untuk kemudahan semua supaya tidak perlu lagi MPPKB hantar saman setiap masa

32 tahun adalah satu masa yang lama. Dengan pemerintahan UMNO yang baru rakyat Kelantan bolehlah dapat bekalan air yang cukup. Tak payah lagi cari pam untuk bawa masuk air ke dalam rumah. Tak payah lagi gali telaga. Tak payah juga guna drilling nak cari mata air untuk kegunaan persendirian.

Kedai makan dan restoren boleh berniaga dengan aman kerana ada air yang cukup untuk membasuh periuk dan mencuci pinggan mangkuk.

Sudah sampai masanya pengundi Kelantan mencari jalan untuk keluar daripada keadaan yang terseksa sekarang. Memanglah Pas merupakan musuh politik yang kuat kerana pemimpin mereka ada banyak projek; jadi mereka dapat memberi upah yang baik kepada pekerja serta jentera pilihan raya mereka.

Tetapi saya menyeru kapada pengundi, khususnya orang muda, fikirkanlah nasib rakyat yang lain yang memerlukan kerajaan yang baik untuk menolong mereka.

Di Kelantan kita tahu pilihan rakyat lazimnya ialah sama ada kepada PAS atau UMNO. Tidak ada pihak lain yang akan berjaya. Kali ini PAS dan rakan rakan baru mereka cuba menggambarkan pemimpin UMNO itu rakus dan penuh dengan rasuah. Ada yang dibawa ka Mahkamah.

Saya ingin ingatkan pengundi, yang dibawa ke mahkamah belum lagi selesai proses pengadilannya, jadi tunggulah dulu sebelum menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Lagipun yang tidak didakwa belum tentu lagi benar-benar bersih, cuma mereka tidak didakwa kerana mereka menyokong pemimpin tertentu.

Bagi rakyat apa yang penting, kerajaan yang ada tidak duduk berdiam diri. Kerajaan mesti selalu berusaha untuk menolong meringankan beban rakyat.

ZAID IBRAHIM

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.