BERDASARKAN SUMBER DIYAKINI, RAFIZI BERKEMUNGKINAN AKAN KEMBALI MEMBANTU PKR MENJELANG PRU KE 15

 Aktif kembali dalam politik, Rafizi akhirnya buka mulut dedah perkara sebenar


Ketika pemilihan parti semakin menghampiri, gesaan agar Rafizi Ramli kembali aktif dalam politik dan menawarkan diri untuk bertanding kedengaran semakin kuat.

Untuk rekod, PKR akan mengadakan pemilihan pada April tahun ini.

Sebelum berundur sepenuhnya daripada politik pada penghujung 2019, Rafizi merupakan watak yang berpengaruh dalam PKR dan dianggap salah seorang penasihat yang paling diyakini Anwar Ibrahim.

Bekas ahli parlimen Pandan itu juga dikenali sebagai individu yang mendedahkan beberapa skandal melibatkan kerajaan BN sebelum ini.

Kini penyokong Rafizi mendesak agar dia kembali aktif. Namun kata Rafizi, ada banyak pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum dia bersedia memenuhi gesaan tersebut.

“Saya belum buat keputusan, tetapi saya memang memberi perhatian kepada orang ramai dan parti yang mahu saya membuat pertimbangan.

“Saya akan pertimbangkan dan berunding dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk Tuhan,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Perlu pastikan bermanfaat

Antara pertimbangan yang diambil kira, kata Rafizi, ialah jika kemunculan semula dalam politik itu berbaloi kepada PKR dan rakan partinya yang mungkin kurang senang dengan pendekatan “radikalnya”.

“Saya mahu pastikan (pembabitan saya semula dalam politik) memberi kesan ke arah pembinaan negara, dan masa serta pengorbanan yang dibuat itu berbaloi.

“Saya perlu bersikap realistik, iaitu saya sangat radikal dalam pemikiran dan kebanyakan pemimpin PKR sekarang serta sekutunya tidak akan selesa dengan pendekatan serta idea saya,” katanya.

Tambahnya, beliau juga perlu realistik sama ada dia boleh mempengaruhi kebuntuan arah yang dialami PKR dan sekutu parti itu kerana wujudnya beberapa halangan yang berstruktur.

Dengan landskap politik sebegitu, katanya, dia berasa perlu membuat pertimbangan dengan penuh teliti bagi memastikan keputusan itu nanti membawa manfaat.

Hal itu kerana tambah Rafizi tenaganya juga boleh digunakan untuk membangunkan negara melalui cara lain.

“Saya tidak pernah berminat dengan jawatan awam. Apabila saya mahu melakukan sesuatu, saya mahu melakukan kerja yang baik.

“Jika secara realistiknya saya tahu ada isu struktur yang kesan akhirnya boleh diabaikan berbanding membuat perbezaan dalam cara lain untuk membina negara, itu adalah sesuatu yang saya perlu pertimbangkan dengan teliti,” katanya.

Menurut Rafizi sepanjang tempoh 10 tahun memberikan komitmen kepada politik – di antara 2009 hingga 2019 – dia mengorbankan kerjaya yang baik, membelanjakan berjuta-juta wang simpanannya dan hampir dipenjara untuk tempoh yang lama.

Walaupun tidak menyesali tindakan itu kerana yakin ia membawa perubahan kepada negara, kini Rafizi berasa, suasana politik sudah banyak berubah, khususnya berkaitan hal-hal dalaman PKR dan Pakatan Harapan.

“Untuk membuat komitmen pada waktu ini bermakna saya perlu kehilangan segala-galanya sekali lagi dan mempertaruhkan segala-galanya semua ketika saya sendiri tak pasti sama ada wujud kesediaan dalam kalangan elit PKR dan sekutunya untuk hidup dengan pendekatan dan intensiti kempen saya yang dirasakan ramai golongan elit sebagai mungkin mengancam status quo mereka.

“Lebih mudah bagi ahli politik lain (untuk mempertimbangkan untuk menyertai semula politik) kerana mereka akan diberi ganjaran.

“Pertimbangan itu sedikit berbeza untuk saya,” tambah Rafizi.