Kenaikan berterusan harga
barang keperluan asasi di pasaran akan menghakis dengan teruk kuasa beli
rakyat.
Pengundi bangsa Johor digesa
membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini sebelum
terlambat.
Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru,
Akmal Nasir, tidak mustahil sedikit masa lagi menu yang ringkas dan hari hari
dinikmati rakyat marhaen akan menjadi makanan 'istimewa' kerana harganya
melambung.
"Ayam dan telur tidak
boleh didapati di beberapa tempat. Malah bertambah teruk jika kerajaan Barang
Naik ini tidak mampu menangani isu ini dengan segera.
"Dulu telur ayam boleh
dapat RM7 - RM8 sepapan, sekarang nak sepapan dekat RM12. Ada tempat terpaksa
menjual dengan lebih mahal. Macam mana perkara ini boleh berlaku?
"Abang bujang dan
mahasiswi mungkin selama ini menu nasi berlauk telur dan sup kosong. Sekarang
silap silap menu tersebut jadi menu kayangan," katanya dalam siri
pendedahan kenaikan harga barang di media sosial yang dijanjikan oleh beliau
akan dilakukan Angkatan Muda KEADILAN sepanjang PRN kali ini.
Menurut Akmal, terdapat skim
dipanggil Harga Maksimum Keluarga Malaysia. Namun, mesyuarat berjam jam, minum
air mineral mahal tetapi penurunan harga yang berjaya dicapai 20 sen.
Katanya, skim itu sukar untuk
berjaya kerana penternak bakal menanggung kerugian RM200 juta sebab kos
menternak ayam jauh lebih tinggi daripada harga jualan.
"Kos bela ayam RM6.50,
jual ayam RM5.60 sen. Saya terima maklumat penternak ada yang kata mahu gulung
tikar tak mahu lagi ternak ayam.
"Macam mana bekalan ayam
ini? Bila kita pertikai, sekarang baru nak bagi subsidi. Tetapi ingat kos
ternak RM6.50, jual RM5.60 dan subsidi beri 60 sen. Itu tak mampu menampung
margin.
"Subsidi pun sampai bulan
Jun. Dengan tidak tahu hala tuju kerajaan mahu ke mana, kalau lepas ini kos
naik lagi bagaimana? Jangan terkejut kalau ada menteri bagi nasihat jangan
makan ayam lepas ini," katanya lagi.
Justeru, Ketua Angkatan Muda
KEADILAN Malaysia itu mempersoalkan di mana kebertanggungjawaban menteri.
Katanya, tidak guna mesyuarat kalau masalah selesai hanya dipermukaan dan tidak
mencari penyelesaian yang hoslistik.
"Akar masalah ini berpunca
daripada kos pengeluaran yang tinggi. Tak cukup sekadar kawal harga. Bukan
hanya soal harga tetapi soal bekalan.
"Tidak cukup hanya
bergantung kepada bekalan ayam import, bekalan pun tak cukup. Menteri buatlah
sesuatu," katanya lagi.