\
Di dalam Ringkasan Eksekutif Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia yang dibentangkan di Parlimen pada 5 November 2020 dinyatakan pada muka surat xiv dan xv seperti berikut:-
1) Rekod perakaunan kewangan Kerajaan Negeri Johor telah diselenggara dengan teratur dan kemas kini;
2) Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Johor adalah stabil;
3) Baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2019 adalah berjumlah RM2.653 bilion iaitu meningkat sebanyak RM189.12 juta atau 7.7% berbanding RM2.464 bilion pada akhir tahun 2018;
4) Akaun Hasil Disatukan menunjukkan lebihan semasa berjumlah RM68.23 juta;
5)Kutipan hasil meningkat sebanyak RM202.30 juta atau 13.1% menjadi RM1.745 bilion berbanding RM1.543 bilion pada tahun 2018;
6) Prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan Projek Pembangunan Kerajaan Negeri atau Rancangan Johor 5 Tahun ( RJ5T) di bawah RMKe-11 sehingga tahun 2019 adalah baik iaitu sejumlah RM2.505 bilion atau 70.6% telah dibelanjakan berbanding RM3.550 bilion peruntukan yang diluluskan;
7) Pada tahun 2019, daripada 4,762 jumlah Projek yang dirancang, 4,446 Projek atau 93.4% telah disiapkan sepenuhnya;
8) Baki pinjaman Boleh Dituntut menurun sebanyak RM47.65 juta atau 9.4% daripada RM504.87 juta pada tahun 2018 kepada RM457.22 juta pada tahun 2019;
9) Hutang Awam menurun sebanyak RM298.55 juta atau 57.3% menjadi RM222.39 juta berbanding RM520.94 juta pada tahun 2018; Dan
10) Tunggakan bayaran balik Hutang Awam oleh Kerajaan Negeri berkurang sebanyak RM189.39 juta atau 56.6% menjadi RM145.12 juta berbanding RM334.51 juta pada tahun 2018.
Sepuluh Perkara yang disebut oleh Laporan Ketua Audit Negara seperti dinyatakan di atas adalah bukti benar dan sahih bahawa Kerajaan PH yang mentadbir Negeri Johor selama 22 bulan dari Mei 2018 sehingga Februari 2020 adalah sebuah Kerajaan yang bijak menguruskan Kewangan Negeri Johor.
Dengan yang demikian adalah satu tanggungjawab kepada seluruh Rakyat Negeri Johor untuk memilih sekali lagi PH dalam Pilihanraya Negeri Johor kali ini bagi mentadbir Negeri Johor supaya Johor akan bangkit, maju dan bermaruah.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
15 Februari 2022.