Adik Heliza Helmi digossip ‘berkawan’ dengan Shuib Sepahtu

 

Panas! Adik Heliza Helmi nafi gosip ‘berkawan’ dengan Shuib Sepahtu


Adik Nur Heliza Helmi, Hazwani, menafikan dirinya adalah wanita ‘misteri’ yang dikaitkan sedang berkawan dengan usahawan serta pelawak terkenal, Shuib.

Hazwani yang ditemui media pada majlis pelancaran filem pertama lakonannya, Road To Heaven, mengakui terkejut ketika mula-mula terbaca dakwaan berkenaan.

“Saya pun tak tahu macam mana dakwaan macam tu boleh timbul. Saya tahu (mengenai isu itu) pun selepas ada individu yang berkongsi mengenainya melalui Instagram.

“Apabila membacanya, saya memang sangat terkejut, tapi taklah sampai terkesan atau terganggu kerana saya tahu perkara tu tak benar,” jelasnya.

Tambah pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa itu, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk mendekati Shuib kerana sedang menyelesaikan pengajian yang dijangka tamat Ogos ini.

Katanya, dia hanya mengenali lelaki itu sebagai teman artis.

“Saya kenallah dia sebagai pelawak, tapi nombor telefon dia pun saya tak ada apatah lagi pernah berjumpa mahupun berhubung.

“Jauh lagi perjalanan saya. Saya memang langsung tak terfikir ke arah tu (untuk menamatkan zaman bujang),” katanya di Pawagam P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ampang Jaya, semalam.

Rasa berdebar-debar

Shuib dikaitkan dengan ramai wanita sejak pemergian allahyarham isteri, Siti Sarah Raissuddin, pada 9 Ogos tahun lalu.

Juruhebah radio itu juga beranggapan dirinya seperti alat mainan Lego kerana cuba ‘dijodohkan’ netizen.

Jan lalu, Shuib menafikan mengenali atau mempunyai sebarang hubungan dengan Hazwani.

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam filem Road To Heaven yang mendapat arahan Nizam Zakaria, Hazwani melihat ia sebagai salah satu cabang dakwah.

Mengakui teruja, Hazwani pada masa sama menyatakan sebagai filem pertamanya, timbul perasaan bimbang sekiranya dia gagal memberikan yang terbaik.

Namun, katanya, berlakon di samping Heliza, sedikit sebanyak membantu untuk meningkatkan semangat.

“Berdebar-debar juga untuk berlakon filem walaupun pernah berlakon drama sebelum ni. Tapi bila ada Kak Ja (Heliza), sedikit sebanyak membantu.

“Walaupun berat, saya anggap ia sebagai satu cabang dakwah. Dulu orang berdakwah melalui tulisan, tapi kini melalui seni pun boleh,” katanya.


No comments: