PH bersiap siaga hadapi PRN-12 Sarawak

 


Pakatan Harapan (PH) telah siap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak sekiranya darurat ditamatkan lebih awal di negeri ini.

Malah, menurut Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau optimis bahawa gabungan itu mampu memberi saingan sengit kepada Parti Gabungan Sarawak (GPS) dalam PRN12 nanti.

“Darurat di Sarawak akan tamat pada Februari tahun depan dan jika berkuat kuasa pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari atau selewatnya April.

“Dari sekarang hingga April kita cuma ada enam bulan, namun kita tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya darurat tamat awal dan PRN12 diadakan lebih awal,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dua hari ke Sarawak, kelmarin.

Mengulas lawatan dua harinya ke Sarawak, Saifuddin berkata beliau berpuas hati dengan laporan yang diberikan berhubung persiapan jentera pilihan raya di semua kawasan dikenal pasti berpotensi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding.

Beliau juga telah memberi beberapa cadangan penambahbaikan dalam beberapa perkara serta menggariskan tugas dan peranan yang boleh mereka mainkan sebab parti kini sudah berada di tahap pecutan terakhir.

“Saya turut memaklumkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pertemuan dengan PKR Sarawak dan beliau (Anwar) juga berpuas hati,” ujarnya.

Saifuddin turut memberitahu di peringkat pusat tidak ada mana – mana dominasi parti tunggal jika terdapat kerjasama dengan parti-parti kecil dalam pilihan raya nanti.

“Oleh demikian, idea gabungan itu dibuat dan PKR sudah ada PH namun mungkin belum mencukupi, jadi masih ada keterbukaan dengan syarat pihak yang akan diterima, menerima prinsip yang diperjuangkan dalam PH.

“Di Sarawak dari sudut politik, pendekatan politik khemah besar dipersetujui sebagai pendepatan politik PH dan ia perlu difahami dahulu sama ada boleh diterima atau tidak di negeri ini,” tegas Saifuddin lagi.

No comments: