ISU BILA DEKAT PILIHANRAYA : Peguam keluarga Adib harap jawatankuasa khas lakukan siasatan telus, beramanah


Syazlin Mansor berharap jawatankuasa khas itu boleh mengambil input daripada beliau dan barisan peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, serta menilai fakta dan keterangan dalam prosiding inkues sebelum ini.
PETALING JAYA: Peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat kematian anggota bomba itu akan melakukan siasatan dengan adil, telus dan beramanah.
Beliau berkata, pihaknya dan keluarga Adib menyambut baik langkah serius kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas itu.
“Saya selaku peguam keluarga arwah bagi kes inkues, bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa khas ini.
“Saya juga amat berharap jawatankuasa khas ini dapat mengambil input daripada saya (dan barisan peguam keluarga Adib), seterusnya melihat dan menilai fakta serta keterangan yang dikemukakan dalam prosiding inkues,” katanya kepada FMT.
Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan memberikan pembelaan sewajarnya terhadap kematian Adib.
Katanya, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Idrus Harun.
Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di luar kuil di USJ 25, Subang Jaya itu pada 27 Nov 2018, sebelum meninggal dunia pada 17 Dis tahun sama di Institut Jantung Negara.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.



No comments: