Jangan pandang sebelah mata rawatan murah untuk pesakit Covid-19, kata wakil pembangkang



Ahli Parlimen Kuala Kedah Azman Ismail berkata, tidak ada sebarang bukti saintifik yang baik mengatakan tubuh manusia tidak boleh ambil lebih 100mg. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyelar kenyataan Kementerian Kesihatan bahawa tubuh manusia tidak boleh mengambil lebih daripada 100mg vitamin C sehari, sambil menegaskan kenyataan itu tidak bersandarkan kepada bukti saintifik yang kukuh.

Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) berkata, kerajaan seharusnya mempertimbangkan rawatan untuk pesakit Covid-19 menggunakan vitamin C dos tinggi seperti yang dilakukan di Wuhan, China dan Australia, yang dilihat kaedah lebih murah berbanding menggunakan pil rawatan yang lain.

“Doktor di Wuhan, China beri vitamin C pada kadar yang tinggi kepada pesakit Covid-19. Begitu juga di Australia, mereka gunakan vitamin C untuk rawat kes yang teruk.

“Penggunaan 4mg atau 5mg vit C sangat murah dan mudah tetapi ia tidak dilakukan. Jika orang lain boleh guna, ada satu jabatan di KKM pula keluarkan kenyataan bahawa pengambilan vitamin C tidak boleh lebih 100mg sehari, ini semua karut kerana tidak ada sebarang bukti saintifik yang baik mengatakan tubuh manusia tidak boleh ambil lebih 100mg,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021.

Beliau juga kesal dengan tindakan kerajaan yang cepat mempercayai ubat yang masih dalam fasa uji kaji dan menggunakannya untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kajian menunjukkan tiada kerosakan pada buah pinggang sekiranya ambil vitamin C pada dos tinggi, benda mudah kita tak pandang, tak minat tetapi benda kurang jelas seperti ubat antiviral molnupiravir, kita tempah.

“Kalau ivermectin sukar dilaksanakan saya faham tetapi kenapa kita pandang sebelah mata benda yang murah (rawatan vitamin C),” katanya.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata kerajaan menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral molnupiravir sebagai pilihan tambahan rawatan inovatif baru dalam melawan Covid-19.

Beliau berkata menerusi perjanjian bersama Merck Sharp & Dohme itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit Covid-19.

No comments: