NAK JADI PEGUAM PADA PERASUAH : ANWAR PERSOAL SPEKER

 

Kertas Pandora: Mengapa nak jadi peguam kepada perasuah, Anwar soal speaker

 Anwar Ibrahim memberitahu Azhar Azizan Harun bahawa sumbernya bukan sahaja media dan atas sebab itu beliau membawa perkara berkenaan ke Parlimen untuk dibahaskan.

KUALA LUMPUR: Selepas rayuan usul terbaharunya yang mendesak Kertas Pandora dibahaskan di Dewan Rakyat ditolak, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap Speaker Azhar Azizan Harun yang “bertindak sebagai peguam” berhubung isu kebocoran data itu.

Dalam jawapan balas berhubung tindakan beliau menolak usul itu, Azhar berkata, Kertas Pandora bukan mengenai pengeluaran duit dari dalam negara ke luar pesisir tetapi pendedahan pegangan saham di syarikat luar pesisir yang merupakan dua perkara berbeza.

“Semakan saya, sesetengah saham menurut kenyataan di luar sana, nilainya hanya kecil bukan bernilai berbilion, hanya sekadar lima pound sahaja, kalau tak silap saya,” katanya kepada Anwar.

Anwar (PH-Port Dickson) kemudian mempertahankan tindakannya membawa isu Kertas Pandora itu supaya dibahaskan di Parlimen.

“Mengapa speaker nak jadi peguam kepada perasuah-perasuah ini? Kenapa? Saya ada dokumen dan bagaimana seorang menteri boleh simpan saham di sana begitu banyak…(wang) ini dari mana dari langit? Itu bermakna dari sini…wang yang dibawa keluar, ratusan bilion, saya tak faham kenapa nak jadi peguam bagi orang-orang ini.

“Kalau betul hanya lima pound bahas la di sini. Sumber saya bukan sekadar di media, sumber saya lebih daripada itu, sebab itu saya nak bawa perkara ini ke Parlimen untuk dibahaskan,” katanya dan menambah ia bukan untuk menghukum tetapi mahu rakyat mengetahui sumber sebenar dana berkenaan.

Anwar berkata, walaupun individu berkenaan mempunyai akaun di luar pesisir negara, ini tidak bermakna mereka boleh menyimpan begitu banyak wang.

Azhar kemudian menjawab: “Saya tidak mahu menjadi peguam bagi mereka, saya hanya betulkan fakta. Anda beritahu beratus bilion tetapi Kertas Pandora bukan mengenai aliran keluar wang tunai.”

Sebelum itu, beliau menolak usul terbaharu Anwar dengan alasan Ketua Pembangkang itu menggunakan Aturan Mesyuarat yang salah, sambil menegaskan keputusan menolak usul itu adalah muktamad.

Namun Azhar berkata, Anwar masih boleh mengemukakan semakan keputusan berdasarkan Peraturan 43 Aturan Mesyuarat yang menyatakan bahawa keputusan Speaker hanya dapat dikaji berdasarkan “usul substantif yang dibuat untuk tujuan itu”.

Pada 4 Okt, Anwar yang juga Presiden PKR mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara melibatkan beberapa nama besar.

Bagaimanapun, Azhar menolak usul itu atas sebab ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

No comments: