Hasimi Muhamad
Oktober 11, 2021
Anwar berkata penggunaan dana tersebut boleh diterima sekiranya ia untuk situasi mendesak termasuk perolehan vaksin - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) perlu dilakukan dengan cukup teliti, mengambil kira pengurusan kerajaan yang telus serta tiada ketirisan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan dana tersebut boleh diterima sekiranya ia untuk situasi mendesak termasuk perolehan vaksin, selain dilakukan dengan tata kelola yang ketat.
Membahaskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, Anwar berkata Kementerian Kewangan (MoF) juga perlu memberi jaminan bahawa sebarang perolehan pada masa akan datang dilakukan melalui sistem tender terbuka.
"Alasan ini kita juga terima dengan beberapa pertimbangan iaitu pertama, pengurusan cekap, tidak ada ketirisan, pembaziran dana serta cara tata kelola yang ketat termasuk peroleh vaksin.
"Ini kerana seperti mana YB Menteri (Kewangan) tahu, sampai sekarang kita tidak mempunyai maklumat lengkap tentang kos vaksin dan kadar perolehannya secara teliti.
"Ini pertimbang yang berat kerana memikirkan adalah tidak adil dan munasabah bagi generasi sekarang menggunakan dana dan berbelanja tanpa memikir kemungkinan generasi akan datang terpaksa membayar hutang tinggi, yang mana hutang dibuat sekarang ditanggung oleh generasi akan datang," katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
RUU Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas usul itu disokong secara undi suara selepas ia dibahas dan dipersetujui di peringkat dasar dan jawatankuasa.