Pelakon, Datuk Hans Isaac ketika sidang media selepas selesai
Majlis Penyerahan Motosikal kepada Asnaf Ampang di Tall and Order Sdn Bhd,
Ampang. foto AFIQ HAMBALI, 16 NOVEMBER 2020.
KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Hans Isaac kesal dengan
kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida
Kamaruddin terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.
Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
(Finas) itu menyifatkan kenyataan Zuraida sebagai tidak bertanggungjawab dan
bertentangan dengan prinsip menghormati institusi diraja.
“Sebagai seorang yang menjunjung
perlembagaan negara yang mengiktiraf kedaulatan Raja-Raja, saya melahirkan
perasaan dukacita dengan sikap seorang yang berstatus Ahli Parlimen.
“(Dia) sepatutnya membawa obor menghormati kedaulatan ini tetapi
malangnya membawa sikap yang menjurus kepada kebiadaban dan penderhakaan kepada
raja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Semalam, Zuraida dilapor berkata kenyataan yang dikeluarkan
Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu
adalah tidak wajar.
Ini selepas Yang di-Pertuan Agong melahirkan rasa dukacita
apabila pembatalan Ordinan Darurat pada 26 Julai lalu dilakukan tanpa mendapat
perkenan baginda dan tidak dibentangkan di Dewan Rakyat.
Zuraida berkata, Yang di-Pertuan Agong sepatutnya mendapatkan
penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.
Mengulas lanjut, Hans berkata tindakan Zuraida itu menggambarkan
dirinya tidak menghormati penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran
Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang lalu.
Untuk rekod, Hans menyertai PKR pada November tahun lalu selain dua lagi rakan artis Afdlin Shauki dan Altimet.