Siasat juga pemimpin himpun di hotel, ulang alik ke rumah Muhyiddin – Syed Saddiq

 MGF04082021_MP-PEMBANGKANG-BERI-KETERANGAN28-1

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (dua kiri) bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) hadir untuk memberi keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mendesak polis supaya menyiasat pemimpin-pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional termasuk pemimpin UMNO yang berhimpun beramai-ramai tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata, polis sepatutnya menyiasat Ahli-Ahli Parlimen UMNO, Barisan Nasional yang berhimpun di hotel.

“Mereka (ahli-ahli Parlimen UMNO) berhimpun di hotel, makan ‘dinner’ , kereta-kereta Vellfire boleh berulang alik ke rumah perdana menteri, pemimpin politik boleh jumpa PM di rumahnya sampai lewat malam sebab ada perjumpaan tergempar dan ini semua takda masalah tetapi kami nak ke Parlimen pula dipersalahkan.

“Kalau nak siasat kami, silakan kami tidak menghalang, tetapi sila siasat juga menteri-menteri yang berulang alik setiap malam ke rumah PM,” ujarnya.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, beliau hairan mengapa pergerakan mereka ke Parlimen disekat sedangkan mahu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat dan digajikan.

Malah, kehadiran mereka ke Parlimen Isnin lalu bagi memikul titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentang dan membahaskan isu rakyat, katanya.

Terdahulu Syed Saddiq dan Hannah Yeoh hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini untuk dirakam percakapannya berhubung himpunan dan perarakan ahli-ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen pada Isnin lalu.

Syed Saddiq tampil ke IPD sekitar jam 2.29 petang tadi sebelum bersama-sama dengan Ahli Parlimen Segambut itu memasuki premis polis itu untuk memulakan proses merakam keterangan.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian keluar meninggalkan IPD Dang Wangi selepas sejam kemudian.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau memberi kerjasama penuh dalam siasatan ini.

Katanya, beliau ke Parlimen Isnin lalu kerana itu adalah tempat kerja ahli-ahli Parlimen kerana mempunyai pejabat di sana.

“Pada Isnin lalu saya sepatutnya menghadiri dua mesyuarat jawatankuasa antaranya mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman tetapi kami menerima notis pembatalan kedua-dua perjumpaan itu agak lewat sedikit.

“Kami tidak berniat ke Dataran Merdeka tetapi tiada pilihan kerana semua jalan menuju ke Parlimen disekat oleh polis dan ditutup akses.

“Saya terpaksa memakir kereta tepi jalan dan bertanya polis trafik sebab tak dapat diakses ke Parlimen,” katanya yang kecewa dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang sepatutnya bersuara dan membela ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Hannah mendakwa Azhar membisukan diri dalam isu ini. – MG



No comments: