Negara kita sedang berdepan dengan krisis yang bersifat multidimensi. Tidak hanya krisis kesihatan, ekonomi dan sosial, kita juga berdepan krisis politik yang tidak menentu sejak berlakunya Langkah Sheraton pada setahun yang lalu.
Namun demikian, apa yang berlaku dalam sidang Parlimen pada hari Khamis yang lalu telah mewujudkan krisis politik yang lebih besar kerana ia telah melibatkan perlanggaran terhadap semangat perlembagaan dan penghormatan kepada institusi diraja.
Semalam buat pertama kalinya dalam sejarah, institusi diraja saling berbalas kenyataan dengan Kabinet Perikatan Nasional.
Pada pengamatan saya, krisis yang wujud tanpa kita nampak apa penghujungnya ini berpunca daripada kegagalan kepimpinan negara kita untuk mempunyai iltizam politik dan moral yang tinggi.
Iltizam politik adalah komitmen dan kemahuan yang bersungguh-sungguh untuk mencapai objektif yang sepatutnya sama ada secara institusi atau tugas suatu posisi itu sendiri.
Dalam konteks kepimpinan negara, objektif besarnya adalah keadilan dan kesejahteraan buat rakyat seiring dengan semangat yang ada dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Moral pula adalah suatu pegangan dan kepercayaan yang menentukan perbuatan yang betul atau salah. Kita boleh lihat moral seseorang melalui sikap yang dinyatakan dan tindakan yang dilakukan sama ada secara perbuatan atau percakapan ketika berdepan dengan apa-apa situasi dan konflik yang menyerang kepentingan peribadi dirinya.
Dua perkara ini jika dilihat pada kepimpinan negara kita, ia berada di titik yang sangat rendah hingga segala krisis gagal diuruskan dengan baik.
Kegagalan mempunyai iltizam politik yang tinggi telah menyebabkan kepimpinan negara kita tidak bersungguh-sungguh berusaha untuk memperbaiki situasi dan keadaan agar dapat ditegakkan keadilan dan kesejahteraan buat rakyat.
Mereka sambil lewa sahaja mengerjakan amanah yang tertanggung di bahu mereka. Lebih teruk, mereka memilih untuk biarkan sahaja sistem dan keadaan yang sedia ada atau melambatkan gerak kerja kerana mereka tahu kedudukan mereka dalam jawatan berkenaan tidak akan tergugat.
Bahkan lebih menakjubkan, ada yang dinaikkan pangkat dan diberikan jawatan.
Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana Menteri Kesihatan telah dikritik dengan begitu keras oleh mantan Menteri Kesihatan dalam sidang mesyuarat khas pada hari Selasa yang lalu.
Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil masa yang terlalu lama untuk menerima keputusan ujian RTK-Antigen sebagai langkah pencegahan awal bagi mengurus kes Covid-19. Kesannya, negara kita gagal membendung kenaikan wabak Covid-19 ini dengan lebih berkesan.
Kita perlu sedar bahawa, hanya dengan iltizam politik yang tinggi sahajalah akan menjadikan kepimpinan negara kita benar-benar bersedia menerima idea dan saranan daripada pihak lain selagi mana yang dilontarkan itu dibuktikan mampu menambah baik sistem dan keadaan.
Mereka akan bersedia untuk memperbaiki kekurangan yang ada kerana mereka tahu bahawa komitmen mereka waktu ini adalah demi kebaikan rakyat.
Kegagalan mempunyai moral yang tinggi pula menyebabkan kepimpinan negara kita kehilangan deria sensitif untuk berpihak kepada perkara yang betul dan benar. Mereka akan sanggup mempergunakan kelemahan yang ada dalam sistem untuk kepentingan peribadi mereka.
Mereka sedar apa yang dilakukan oleh mereka sebenarnya bercanggah dengan semangat yang ada dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.
Tetapi kerana moral mereka rendah, sistem itu diputarbelitkan pada hal-hal teknikaliti agar berpihak kepada kemahuan mereka.
Lebih teruk, moral yang rendah ini juga telah menyebabkan kepimpinan negara menjadi sombong dan angkuh. Mereka tidak bersedia mengakui dan menerima kesilapan yang telah mereka lakukan.
Bahkan lebih menyedihkan, mereka memilih untuk mempertahankan kesilapan mereka walaupun secara jelas mereka telah bersalah. Mereka mencipta sebuah ilusi yang cuba mengalihkan kesalahan itu daripada berada pada batang tubuh mereka.
Kita perhatikan bagaimana gagalnya Speaker Dewan Rakyat di Parlimen untuk bermoral dengan beban tanggungjawab yang dipegang oleh dirinya pada hari Khamis yang lalu.
Penangguhan demi penangguhan dibuat atas alasan sedang berbincang, kemudian menggunakan alasan kes Covid-19 di dalam Parlimen sebagai alasan untuk menangguhkan terus persidangan.
Lebih aneh, ketika yang berada di dalam Parlimen tidak dibenarkan keluar untuk menjalani ujian pemeriksaan status Covid-19, ahli Jemaah Kabinet Perikatan Nasional boleh pula keluar ke rumah Perdana Menteri di Bukit Damansara untuk mesyuarat sesama mereka.
Moral yang rendah telah merosakkan semangat yang sepatutnya dalam Parlimen dan tidak mengendahkan peraturan yang mereka sendiri tetapkan. Kesannya? Sistem dan keadaan terus menjadi teruk. Mereka yang bertanggungjawab pula terus menjadi sombong daripada mengakui kesilapan mereka.
Apa yang berlaku dalam negara kita pada hari ini merupakan satu pengajaran yang kita bayar dengan harga yang sangat tinggi.
Kita telah membayarnya dengan kematian nyawa, penutupan periuk nasi rakyat, peningkatan penganggur, kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik.
Semua ini berpunca daripada kegagalan kepimpinan negara untuk mempunyai iltizam politik dan moral yang cukup tinggi. Kitaran ini perlu kita hentikannya dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Dalam jangka masa pendek, adalah penting untuk kita kembalikan fungsi demokrasi berparlimen agar krisis ini diuruskan mengikut aturan dan semangat yang sewajarnya.
Bagi jangka masa panjang, generasi baharu yang kelak akan menggantikan posisi ahli politik sekarang ini perlu berani memecahkan kitaran ini agar kepimpinan negara pada masa akan datang mempunyai iltizam politik dan moral yang tinggi.
———————
Penulis ialah Ketua IKRAM Muda
Pertubuhan IKRAM Malaysia