Menteri, timbalan menteri UMNO tarik sokongan kepada Muhyiddin?

 MGF10032020_JEMAAH-MENTERI-ANGKAT-SUMPAH_28

IMBAS. Jemaah Menteri kerajaan PN yang angkat sumpah jawatan pada Mac 2020.

KUALA LUMPUR – Majoriti menteri UMNO dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) dikatakan sebulat suara menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang tadi.

Tanpa menyatakan jumlah menteri dan timbalan menteri UMNO yang bersetuju dengan keputusan itu, seorang ahli MT, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, persetujuan dicapai untuk menolak kerajaan PN dan Muhyiddin.

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

Bercakap ringkas kepada media selepas mesyuarat yang diadakan secara maya itu, beliau menjelaskan, mesyuarat berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni.

“Malah, masing-masing memutuskan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri. UMNO memutuskan untuk memberi fokus mempertahankan institusi raja dan Perlembagaan selari dalam Perlembagaan parti,” katanya.

Beliau menjelaskan, MT mempertahankan Yang di-Pertuan Agong yang sejak akhir-akhir ini didakwa dipersendakan oleh kerajaan PN dan sebagai parti orang Melayu sudah tentu akan mempertahankan kedaulatan Agong.

Menurut Mohd Razlan, UMNO memerhati dari dekat apa yang berlaku dalam kerajaan PN dan tidak mahu terpalit apabila institusi raja diheret dalam permainan politik untuk kepentingan diri.

“UMNO tak nak terpalit dengan ketegangan hubungan kerajaan PN dengan Istana Negara. Cukup-cukuplah memberi kenyataan yang mengelirukan rakyat.

“Muhyiddin wajar berundur secara terhormat,” katanya.

UMNO mempunyai sembilan menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dan lima timbalan menteri dalam Kabinet PN yang dibentuk Mac 2020 menerusi Langkah Sheraton.

Berikut senarai pemimpin UMNO dalam Kabinet PN:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Parlimen Bera); Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong); Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (Rembau); Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba (Tenggara).

MGF071122021_SAVE-2
Dr Shamsul Anuar Nasarah

Jawatan Timbalan Menteri pula, Datuk Mastura Yazid – Kuala Kangsar (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas); Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said – Kuala Krau (Timbalan Menteri Dalam Negeri I); Datuk Zahidi Zainul Abidin – Padang Besar (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia); Datuk Seri Ahmad Hamzah – Jasin (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I); dan Datuk Abdul Rahman Mohamad – Lipis (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I).

Bagaimanapun, sehingga jam 8.30 malam ini, hanya Shamsul Anuar yang mengumumkan meletakkan jawatan sebagai menteri.


No comments: