Terkini! Peja kata Agong boleh tubuh kerajaan minoriti

 


Terkini! Peja kata Agong boleh tubuh kerajaan minoriti


Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh mempertimbangkan kaedah penubuhan kerajaan minoriti sekiranya tiada ahli Parlimen memperoleh sokongan majoriti.

Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, hal ini susulan pengesahan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) 11 ahli Parlimen UMNO sudah dipersembahkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Seri Paduka Baginda, secara teorinya membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh.

Jelas beliau, penubuhan sebuah kerajaan minoriti bukan suatu perkara janggal dengan seseorang ahli Parlimen yang mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai sokongan majoriti, boleh dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu.

“Bila Ahmad Zahid kata sudah persembahkan SD ahli Parlimen mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan PN, berdasarkan kehadiran 10 ahli Parlimen lain yang berdiri bersama beliau, kita sudah nampak yang kerajaan PN boleh jatuh dengan angka itu.

“Cuma sekarang ke mana arahnya ahli-ahli Parlimen UMNO yang tidak lagi menyokong PN ini? Kalau sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri baharu berpecah-pecah, jadi kemungkinan tiada pihak mempunyai jumlah majoriti sokongan ahli Parlimen yang jelas.

“Dalam soal sekarang, kemungkinan akan berlaku parlimen tergantung kerana ketiadaan parti yang memiliki sokongan majoriti. Ada kaedah-kaedah lain yang boleh dibuat bagi menubuhkan kerajaan baharu, salah satunya menerusi kaedah kerajaan minoriti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memuktamadkan pendirian menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Presiden UMNO pada sidang media selepas mesyuarat MKT mengumumkan bahawa SD ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 11 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Keputusan itu, dakwa Ahmad Zahid sudah menunjukkan kepimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal menegaskan kaedah penubuhan kerajaan minoriti tidak boleh disamakan dengan kerajaan interim yang lebih bersifat sementara dan ditubuhkan atas tujuan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) baharu.

“Bahkan sekiranya Muhyiddin mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai majoriti, maka kerajaan minoriti itu tidak semestinya masih kekal dipanggil kerajaan PN.

“Segala terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan kaedah terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu sekiranya tiada pihak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen kelak,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Perak itu mengakui terkejut dan kecewa dengan keputusan terkini UMNO itu.

Tambah beliau, sepatutnya pucuk kepimpinan UMNO meletakkan kepentingan negara mendahului politik kepartian pada saat krisis pandemik Covid-19 masih lagi memuncak.

“Bila keadaan sebegini berlaku, keputusan UMNO itu meletakkan negara dalam situasi kacau bilau politik, lebih-lebih lagi pada saat masih ramai rakyat menderita akibat pandemik.

“Saya berpandangan UMNO sepatutnya bersikap lebih bertanggungjawab dengan cenderung tidakmencetuskan ketidakstabilan politik pada saat genting ketika ini.

“Implikasi paling teruk akan dirasai rakyat memandangkan mereka akan menjadi lebih susah, terutama pada saat pandemik Covid-19,” katanya.

No comments: