Kalau degil masih sokong Muhyiddin, mereka ‘cari nahas’, kata Puad

 

Puad Zarkashi berkata, tindakan 11 Ahli Parlimen Umno menghantar surat kepada Agong dan Speaker untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri jelas mematikan langkah “licik” Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi memberi amaran mana-mana pemimpin Umno yang masih memihak kepada Muhyiddin Yassin selepas parti itu memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang “mencari nahas”.

Bagaimanapun Puad, yang selama ini lantang mengkritik menteri Umno dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) menegaskan jumlah mereka yang dikatakan menjadi “duri dalam daging” kini semakin mengecil.

“Kalau masih ada yang berdegil untuk sokong Perdana Menteri, itu bermakna mereka ‘cari nahas’. Tetapi itu hak mereka. Jumlah mereka semakin mengecil.

“Kita tidak tahu apa tujuan Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau), Nazri Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan Zahidi Zainul Abidin (Ahli Parlimen Padang Besar) berjumpa di Hotel Seri Pacific KL. Pokoknya jumlah mereka makin mengecil jika merancang ‘Seri Pacific Move’?,” soalnya tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata, tindakan 11 Ahli Parlimen Umno menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Speaker untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri jelas mematikan langkah “licik” Muhyiddin.

“Sebab itu mesyuarat MKT berlangsung dalam suasana yang tenang, tidak tegang dan berakhir dengan konsensus. Zahidi sendiri tidak membantah. Apabila Shamsul Nasarah meletak jawatan sebagai menteri ia adalah ‘signal bahawa jawatan tidak boleh membeli ahli Umno yang mengutamakan perjuangan parti.

“Kenapa itu berlaku? Kerana mereka hanya ada dua pilihan. Memihak kepada Agong atau memihak kepada Perdana Menteri yang dilihat menderhaka kepada Raja,” tegasnya.

Semalam, FMT melaporkan sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen difahamkan menghantar akuan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri untuk diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, Ahli Parlimen berkenaan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Ahmad Maslan (Pontian) yang juga Setiausaha Agung Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Najib Razak (Pekan), Azalina Othman Said (Pengerang), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Noh Omar (Tanjung Karang).

Ahli Parlimen lain adalah Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Zahid berkata, surat akuan Ahli Parlimen Umno itu sekali gus bermakna kepimpinan Muhyiddin sudah hilang keabsahan sebagai ketua kerajaan kerana tidak lagi menikmati sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Umno adalah blok penyokong terbesar yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN tahun lalu. Meskipun mempunyai sokongan padu Umno sebelum ini, kerajaan Muhyiddin dipercayai mempunyai majoriti amat rapuh di Dewan Rakyat.

No comments: