Hampir 4,000 ciapan di Twitter menggunakan tanda pagar #KerajaanTumbang sekali gus sohor kini setakat jam 10 pagi ini.
Reaksi warganet itu susulan penarikan sokongan Umno terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.
Berserta tanda pagar itu, terdapat cadangan agar penubuhan ‘kerajaan perpaduan’ yang mewakili semua parti diberikan pertimbangan.
“Bolehkah kita memiliki kerajaan perpaduan dengan wajah segar dan teknokrat sekurang-kurangnya untuk 18 bulan akan datang?” kata Ang Poi Lim.
Ada juga secara sinis bersimpati dengan generasi pelajar akan datang untuk menguasai subjek Sejarah ekoran terpaksa berdepan lambakan fakta berkaitan kemelut politik serentak dengan krisis pandemik pada masa ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang medianya petang semalam menegaskan kepimpinan Perdana Menteri sudah hilang majoriti dan keabsahan Mahiaddin sebagai ketua kerajaan telah terbatal.
Sebelum ini, #KerajaanGagal, #KerajaanBodoh dan #KerajaanDerhaka sohor ekoran kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengawal pandemik Covid-19 serta pembatalan Ordinan Darurat.
Dalam perkembangan berkaitan, ramai petugas media sudah memenuhi kawasan di pintu satu Istana Negara sejak 7 pagi bagi menanti sebarang kemungkinan, termasuk ketibaan pemimpin politik untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.