Mengapa tidak dana RM1 bilion ‘projek khas’ PM derma ke tabung Covid?
Pengumuman Perdana Menteri (PM) Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Jemaah Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Covid 19 merupakan suatu tindakan yang wajar dipuji.
Bagaimanapun, menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, para menteri dan timbalan masih boleh mendapat gaji Ahli Parlimen dan peruntukan-peruntukan kepada mereka sebagai menteri yang masih berjalan seperti biasa, berbanding Ahli Parlimen Pembangkang yang hanya mendapat peruntukan minimum dalam setahun.
“Sebagaimana yang dikritik Majlis Presiden Pakatan Harapan, malah juga Timbalan Presiden Umno, pengumuman tersebut tidak bermakna elaun Ahli Parlimen dan peruntukan-peruntukan khas Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri juga disalurkan ke dalam akaun tersebut. Ini satu perkara yang perlu dijelaskan PM.
“Juga wujud pandangan yang berkata Ahli-Ahli Parlimen termasuk dari kalangan Pembangkang patut menyalurkan elaun mereka ke dalam akaun yang sama.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya bersedia melakukan perkara ini dengan syarat utama Parlimen dibuka sekarang. Proses semak imbang yang telah tempang sejak Parlimen ‘dibekukan’ enam bulan lalu dan perlu dihidupkan semula, terutamanya dalam keadaan krisis pandemik yang berlarutan ini,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, sekiranya Parlimen bersidang, pelbagai persoalan yang bermain di fikiran rakyat akan dapat dijawab dengan segera dan jelas.
Contohnya, berapa sebenarnya yang telah dibelanjakan untuk membangun laman web pendaftaran AstraZeneca, dan mengapa laman web tersebut gagal pada saat paling kritikal baru-baru ini.
Namun menurut beliau, potongan elaun dan gaji menteri tidaklah seberapa untuk mengumpul dana dalam Akaun Amanah Bencana berkenaan.
Sebaliknya, Fahmi mencadangkan agar PM memperuntukkan semula dana khas berjumlah RM1 bilion dari Belanjawan 2021 di bawah ‘Projek Khas’ PM (Maksud Pembangunan 6, Butiran 93500, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021) kepada tabung Covid 19 supaya lebih banyak rakyat yang mendapat manfaatnya.
“Sementara menunggu Parlimen dibuka, saya menggesa Perdana Menteri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu Ordinan Darurat bagi memperuntuk semula peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion dari Belanjawan 2021 di bawah tajuk ‘Projek Khas’ untuk disalurkan secara terus ke dalam Akaun Amanah Bencana ini.
“Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun 3 bulan bagi 220 orang Ahli Parlimen yang dianggarkan dalam RM16.5 juta, dan akan dapat digunakan dalam waktu lebih cepat untuk menangani pandemik Covid,” katanya lagi.