DARIPADA 95,142 SUDAH MENINGKAT KEPADA 128,150, VIRUS COVID19 PUN AKAN TERUS KETAWA

 

Pada 1 Jun lalu, kita didedahkan dengan laporan media yang mengatakan sebanyak 95,142 syarikat telah diberi kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh PKP penuh atau total lockdown yang berkuatkuasa sehingga 14 Jun depan.

Ketika itu, ramai yang terkejut lalu bising mempertikaikan mengapa MITI memberi banyak kelulusan sebegitu rupa.

Bukankah sekarang total lockdown?

Angka kes Covid19 yang dilaporkan pada hari tersebut ialah 7,105.


Susulannya, kerajaan dipertikaikan sama ada benar-benar serius mahu memerangi Covid19 atau sebaliknya dengan tindakan memberi kebenaran kepada begitu banyak syarikat-syarikat untuk beroperasi itu.

Total lockdown apa namanya kalau 95,142 syarikat terus beroeprasi dengan 1.2 juta pekerja sentiasa bergerak ke sana sini?

Hari ini, 3 Jun kita didedahkan pula dengan laporan media yang mengatakan syarikat yang dibenarkan beroperasi telah meningkat kepada 128,150 jumlahnya.

Jumlah pekerja yang terbabit pula dianggarkan 1.6 juta.

Hari ini juga kes Covid19 yang dilaporkan m ialah sebanyak 8,209.

Ehhh…kerajaan jenis apa kita ada ini, makin banyak kes makin banyak lagi syarikat dibenarkan beroperasi?

Dengan jumlah syarikat yang dibenarkan beroperasi terus meningkat daripada 95,142 kepada 128,150 hanya dalam tempoh tiga hari, berapa pula jumlahnya pada tiga hari akan datang?

Minggu depan dan 10 hari akan datang, adakah jumlah kebenaran yang diberi akan terus meningkat?

Jika begitu, macam mana mahu melawan wabak yang sedang menggila?

Kenapa tidak dilakukan total lockdown sepenuhnya sepertimana PKP 1.0 dengan semua pihak mesti berkorban selama dua minggu ini untuk duduk di rumah dan sama-sama memutuskan rantaian Covid19?

Apa yang nyata, tidak sebagaimana PKP 1.0 dahulu di mana kerapkali kedengaran seruan daripada pihak kerajaan agar rakyat sedia berkorban demi keselamatan nyawa, tetapi perkara itu tidak lagi kedengaran dalam total lockdown kali ini.

Malang sekali, kerajaan sendiri kali ini nampaknya tidak sedia berkorban dengan memahami betul-betul erti total lockdown dan sekatan penuh yang mereka laksanakan itu.

Jika begini kecenderungan kerajaan, sementara pemberian vaksin kekal lembab serta mengecewakan, virus Covid19 bukan saja lebih mungkin terus bermaharajalela di sekitar kita, bahkan akan mentertawakan semua pemimpin yang gagal dalam menangani krisis ini, meski sudah diberi isyarat dengan jumlah kematian yang semakin meningkat.


 (ShahbudinHusin 03/06/2021)


No comments: