Kes Zunar bukti kerajaan tak boleh terima kritikan, kata kumpulan hak asasi

 

Polis menyiasat karikatur dihasilkan Zunar yang menyerupai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

PETALING JAYA: Siasatan terhadap kartunis Zunar atas penyalahgunaan Internet dan perbuatan khianat membuktikan kerajaan tidak dapat menerima kritikan orang ramai, kata kumpulan hak asasi Artikel 19.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Alhaque, hari ini berkata polis memaklumkan beliau akan disiasat berhubung karikaturnya yang menyerupai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu pembatalan cuti peristiwa bagi Thaipusam di negeri itu Januari lalu.

“Siasatan terhadap Zunar adalah satu lagi contoh kerajaan Malaysia tidak dapat menerima kritikan awam,” kata pegawai program Malaysia Artikel 19, Nalini Elumalai.

“Penindasan terhadap artis seperti Zunar dan (pereka grafik) Fahmi Reza menyekat ekspresi kreatif, wacana awam dan menjejaskan kepercayaan terhadap pihak berkuasa Malaysia.”

Tindakan Sanusi membatalkan cuti peristiwa bagi Thaipusam tahun ini akibat perintah kawalan pergerakan mencetuskan kritikan dalam kalangan pemimpin politik berbangsa India daripada kerajaan dan pembangkang.

Kumpulan hak asasi turut mengkritik keputusan Sanusi yang disifatkan sebagai tindakan jahil yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

Terdahulu, Zunar dilaporkan berkata, pembatalan cuti umum Thaipusam menjejaskan struktur sosial yang harmoni di kampung halamannya.

Beliau mempertahankan karikaturnya dengan berkata, beliau mempunyai hak untuk memberi pandangan terhadap isu itu.

Beliau memberitahu FMT, seorang inspektor memintanya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap Ahad ini.

Katanya, beliau disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.

Nalini berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia adalah undang-undang utama yang digunakan kerajaan terhadap pejuang hak asasi, aktivis dan rakyat yang mempunyai kaitan dengan politik.

“Dengan penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia secara berulang kali untuk menyasarkan artis dan aktivis, pihak berkuasa memberi isyarat bahawa kritikan dan tentangan politik tidak dibenarkan di Malaysia.”


No comments: