Persoal sumbangan orang lain, Ramadan berlalu dengan dosa?
Oleh: Mohamad Saja
Bulan Ramadan, bulan barakah. Orang Islam berlumba-lumba mengerjakan kebajikan seperti sedekah dan membantu orang yang sangat memerlukan.
Tapi jikalau wujud insan di dunia yang berlumba mencari maklumat bagi menentukan status keikhlasan orang yang berbuat kebajikan. Kegilaan apakah insan seperti ini?
Apakah yang cuba dibuktikan. Lagi galak membuktikan keikhlasan orang lain, maka tambah terhakis nilai diri dan rasa hormat orang kepada dirinya, status ilmu dan institusi yang diwakili.
Rasa ikhlas hanya tuhan yang tahu. Ia bukan diukur dengan kuantiti tapi kualiti. Jika kita nilai pada kuantiti, maka sumbangan Omar lebih tinggi dari Abu Bakr dalam perlumbaan antara mereka ke jalan jihad menegak kalimah Allah.
Rasullallah tidak pernah mengajar umatnya menilai sumbangan tangan di atas kepada tangan yang di bawah. Malah untuk memarahkan peminta sedekah juga sangat dilarang.
Tidak ada kerja lainkah?
Adegan kejar mengejar dalam isu mempersoalkan sumbangan kepada seorang penerima bantuan oleh kalangan umat Islam ke atas umat bukan Islam adalah satu peristiwa yang sangat jijik bagi saya kerana seperti sudah tiada kerja untuk dilakukan.
Dari sisi lain ia seolah-olah memperlihatkan sikap suka mencari salah ke atas lain. Juga sikap sombong lebih terselah ketika tawaran wang diberikan kepada pemberi maklumat.
Lebih memalukan kita mempersoalkan sikap bukan Islam yang berlomba-lomba memberi sumbangan dalam bulan Ramadan.
Ketika umat Islam yang sepatutnya berlumba-lumba memberi bantuan. Sebaliknya kita pula berlumba-lumba mempersoalkan sumbangan bukan Islam dan keikhlasan mereka member derma kepada orang lain.
Lebih jijik lagi macam najis sifatnya mempersoalkan tingkah laku bukan Islam memberi bantuan kepada umat Islam dalam bulan Ramadan yang mulia.
Sifat itu hina dan indirectly menghina kesucian Islam. Pariah dan biadap tanpa akhlak islamiah sungguh corak sifatnya. Manusia jenis apakah yang suka mempersoalkan sumbangan orang.
Saya kenal orang yang memberi sumbangan tu. Sebenarnya, sumbangan yang baik adalah sumbangan yang tangan kiri tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan.
Bertaubatlah kembali kepada fitrah
Bertaubatlah ketika masuk fasa kedua, fasa keampunan. Semoga kerja kebajikan kita dinilai dengan jannah ketika berada di akhirat kelak. Berlomba-lombalah membuat kebajikan ketika masih ada masa. Takut mungkin ramadhan kali ini adalah terakhir bagi kita.
Tapi Islam tidak pernah menghalang untuk tangan kanan menunjukkan pemberian kepada tangan kiri, kerana pada pemberian itu mungkin menjadi asbab kepada orang ramai berlumba-lumba memberi sumbangan.
Mungkin juga satu keperluan kerana sumbangan yang diwar-warkan adalah satu SOP ketelusan kepada pemberi sumbangan.
Saya banyak menerima sumbangan orang ramai kerana saya juga merupakan usahawan sosial (social entreprenuers) yang bertindak mengagihkan sumbangan orang lain kepada masyarakat yang memerlukan.
Kerana pada setiap rantaian sumbangan itu ada yang suka ditonjolkan kebaikan mereka dan ada yang tidak.
Kefahaman rendah terhadap Islam
Perilaku mempersoalkan tindakan orang lain yang gemar memberi sumbangan menunjukkan tahap kefahaman tahap sangat rendah serta pariah seseorang.
Mempersoalkan sumbangan orang lain adalah satu hak mutlak individu. Tetapi, menjadikan ia satu kisah awam adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Di Barat dan negara bukan Islam. Adalah satu usaha baik jika sumbangan diwar-warkan dan menjadi satu norma dan juga satu kebiasaan.
Mungkin juga bagi tujuan percukaian, kempen mengajak orang ramai menderma dan mungkin juga cara mencucikan hati. Kerana derma dan sadaqah adalah satu kaedah paling efektif menyucikan hati yang penuh dengan dendam kesumat waja.
Penutup kisah derma adalah sepotong ayat yang cukup memberi makna:
Marilah kita baca hadis Rasulullah SAW; “Sesungguhnya Allah swt itu Maha Memberi , Ia mencintai pemurah serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. al-Baihaqi).
Perkara itu juga dinyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”
Allah SWT berfirman dalam Surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad):
“Sesungguhnya, Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Dan apa saja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”
Ayat di atas semua bercakap tentang kelebihan bersedeqah. Tidak pula bercakap tentang kebaikan mempersoalkan keikhlasan orang. Kerana keikhlasan hati seseorang itu adalah urusan Allah. Kerugianlah manusia dalam kegelapan kerana disebabkan hari dan amarah mereka. Mereka tengelam dalam lautan dendam.