PKPD di kampung Tawau tamat susulan protes penduduk


Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas bercakap dengan penduduk Kampung Baru Pasir Putih yang terlibat dalam protes malam tadi. (Gambar Polis Tawau)

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menamatkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau, hari ini.

Ini susulan tunjuk perasaan aman oleh kira-kira 350 orang yang diadakan malam tadi terhadap lanjutan PKPD di kampung itu sehingga 12 Mei ini.

PKPD di kampung tersebut pada asalnya dijadualkan tamat hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, keputusan meneruskan PKPD itu dibuat kerana terdapat 151 sampel ujian masih menunggu keputusan setakat semalam.

“Keputusan sampel ujian itu diketahui awal hari ini dan semuanya negatif. Oleh itu, tiada keperluan untuk melanjutkan PKPD,” kata beliau kepada FMT.

Beliau berkata, 23 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 847 orang di kampung itu.

“Sejajar dengan itu dan berdasarkan penilaian risiko terbaru oleh pihak berkuasa kesihatan, kerajaan negeri bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Baru Pasir Putih hari ini, seperti yang dijadualkan pada awalnya oleh kerajaan persekutuan.”

Tetapi, kata beliau, kerajaan negeri pada masa sama mengarahkan pusat kawalan operasi bencana Tawau terus memantau situasi di lokaliti itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas dilaporkan berkata, penduduk kampung yang menyertai tunjuk perasaan aman itu mahu PKPD ditamatkan lebih awal atau syaratnya dilonggarkan.



No comments: