ANNUAR MUSA PERDANA MENTERI MASA DEPAN MALAYSIA

 

Kalau rakyat biasa langgar SOP dua kali, sudah pasti RM2000 melayang daripada poket sendiri.

Tetapi, Annuar Musa dua kali langgar SOP tetap masih bebas lagi.

Kali pertama beliau didapati beriadah bertiga dan semalam, duduk di meja makan yang dipenuhi enam orang.

Ketika beriadah bertiga sebelum ini, dia kata hanya kebetulan terjumpa, berjalan bersama dan bergambar dengan dua jiran serta kenalannya itu.

Selepas itu, katanya, mereka berpisah ikut haluan yang berbeza.

Kali kedua ini pula, Annuar memberi alasan hanya seketika saja duduk di meja makan sebelum beredar pergi kerana beliau kononnya sedar ada SOP tidak dipatuhi.

Meneliti semula gambarnya di meja makan, ternampak seperti beliau khusyuk membelek telefonnya, manakala yang lain-lain sedang menikmati makanan yang dihidangkan.

Tak tahulah berapa lama seketikanya beliau duduk di meja itu, mungkin sempat membaca beberapa mesej atau mungkin juga sehingga habis sepinggan nasi.

Pokoknya, setidak-tidaknya setakat ini, Annuar semacam terlepas dan tidak disentuh oleh undang-undang.

Selain pandai mencipta alasan, jika terlepas lagi kerana kes melanggar SOP ini, bermakna Annuar seorang yang kebal orangnya.

Kalau kita tidak lupa, ada satu kes kena kompaun sebelum ini hanya kerana seseorang itu meletakkan pelitup muka di dagunya.

Makna kata, dia hanya seketika juga tidak menutup mulut dan hidungnya dengan pelitup muka.

Tetapi, oleh kerana orang itu tidak kebal macam Annuar, dia tetap kena saman juga.

Susah nak cari orang hebat dan kebal macam Annuar ini, dua kali langgar SOP, kedua-dua kalinya pihak berkuasa takut nak berbunyi.

Menteri kanan yang jaga keselamatan sewaktu PKP, Ismail Sabri Yaakob pun tak berani nak kata apa-apa, walaupun dengan rakyat biasa, setiap hari ada saja amaran diberinya.

Oleh kerana hebatnya itu, tak mustahil selepas ini Annuar akan langgar SOP lagi dan terus bebas lagi.

Hebat beb…ini bukan saja undang-undang takut dengannya, silap-silap virus Covid19 pun takut sama dengannya.

Kalau menteri lain yang balik daripada luar negara perlu kena kuarantin tiga hari, Annuar mungkin tak perlu semua itu.

Barangkali kuarantin baginya cukup dengan hanya duduk bersendirian sambil menikmati kopi di lounge KLIA saja.

Hebat, hebat, hebat…

Dengan kehebatan tak terbanding dan tak tertanding itu, sebenarnya hanya jawatan Perdana Menteri saja yang sesuai buatnya selepas ini.

Jawatan Menteri Wilayah Persekutuan sekarang ternampak sangat kecil dengan kewibawaan dan kecekapannya mencipta alasan melanggar dua SOP setakat ini.

Bayangkan jika melanggar SOP kali ketiga nanti, pasti alasannya lebih canggih serta luar biasa lagi.

Rugi besar negara dan kita semua jika orang hebat seperti beliau tidak dijadikan peneraju negara.

Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan pasti setuju benar dan tiada halangan memberi sokongan. 


(Shahbudindotcom 14/02/2021)



No comments: