KUNGKANG - HAIWAN SI LEMBAB.

 

JAMZURI ARDANI


May be an image of nature


Kungkang atau kukang adalah sejenis haiwan yang biasanya di dapati di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil 'sloth'. Oleh kerana kungkang adalah binatang yang sangat perlahan dan kurang bergerak, perkataan 'sloth' juga digunakan dalam Bahasa Inggeris bagi menunjukkan sifat malas atau lembab.

Kungkang adalah haiwan yang paling perlahan pergerakannya di dunia. Secara purata, haiwan ini bergerak tidak sampai 40 meter dalam sehari. Kebanyakan masanya dihabiskan di ranting pokok. Kungkang jarang turun ke tanah kecuali untuk mengawan dan membuang najis. Kungkang betina akan menjerit dengan sekuat hati bagi menarik perhatian kungkang jantan. Jika ia bernasib baik, akan adalah kungkang jantan yang akan bergerak turun dari pokok untuk melayaninya.

Kungkang adalah antara spesis haiwan yang wujud sejak puluhan juta tahun yang lampau dan masih tidak pupus. Padahal banyak spesis haiwan sezaman dengannya yang lebih gagah, pantas, dan besar yang telah pupus akibat faktor perubahan iklim, kekurangan makanan, dan seumpamanya. Tetapi kungkang tetap mampu bertahan dan terus wujud dengan segala sifat lembab dan malas yang ada pada haiwan tersebut.

Rahsia haiwan ini ialah kepada kadar metabolisma yang sangat rendah. Oleh kerana haiwan ini sangat malas dan lembab, ia tidak memerlukan banyak tenaga untuk hidup. Daun-daun yang dimakan oleh seekor kungkang boleh bertahan di dalam perutnya sebagai bekalan tenaga untuk tempoh melebihi sebulan. Maka itu haiwan ini mampu untuk terus hidup walaupun dengan sumber makanan yang sangat terhad. Oleh kerana haiwan ini tinggal dihutan, sumber makanan tidak pernah menjadi masalah. Maka, kungkang adalah sejenis haiwan yang tidak pernah bimbang untuk mencari makanan berbanding spesis haiwan-haiwan lain.

Oleh kerana kungkang kurang bergerak dan selalu berada dalam keadaan statik, ia juga selamat dari haiwan pemangsa lain. Helang tidak dapat mengesan kedudukan mereka dari udara kerana keadaannya yang statik. Begitu juga dengan pemangsa-pemangsa lain yang sering menganggap haiwan ini adalah sebahagian dari struktur dahan pokok.

Tugas paling berat bagi seekor kungkang ialah membuang najis. Mereka terpaksa turun dari pokok untuk membuang najis dan ianya suatu yang sukar kerana mereka memerlukan banyak tenaga untuk mengeluarkan najis. Najis disimpan dalam perut kungkang untuk tempoh yang lama sehingga berat najis itu mencapai sepertiga dari jumlah berat badan kungkang itu sendiri. Jadi, apabila tiba masa mereka perlu membuang najis dari perut, ianya memerlukan tenaga yang sangat banyak bagi seekor kungkang. Ada kungkang yang mati akibat keletihan semasa membuang najis. Tetapi, kebanyakan kungkang mati akibat jatuh dari pokok kerana tersilap menganggap anggota badan mereka sendiri sebagai dahan pokok lalu menjadikannya tempat berpaut dan kemudian jatuh. Kungkang yang terjatuh dan cedera ini biasanya akan menjadi mangsa kepada haiwan pemangsa lain.

Begitulah hebatnya kuasa Allah SWT menjadikan makhluk yang pelbagai agar diambil iktibar oleh manusia.