Ahli Parlimen Bayan Baru lancar kempen 1 Keluarga B40, 1 Komputer




Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin melancarkan kempen 1 Keluarga B40, 1 Komputer bagi membantu murid-murid daripada golongan kurang berkemampuan mengikuti kelas atas talian setelah tidak dapat ke sekolah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun lalu.

Justeru, beliau berkata kempen itu mengalu-alukan derma berupa komputer, laptop, ipad dan smartphone lama untuk diperbaiki yang kemudiannya akan diedarkan secara percuma kepada murid-murid dan pelajar keluarga B40.

Katanya, murid-murid dan pelajar hanya dapat menghadiri sekolah 3 bulan sepanjang 2020, dan masih belum menghadiri sekolah sejak 2021 sekali gus menjadi "lost generation" kerana peluang pembelajaran mereka terbantut.

"Kementerian Pelajaran ingin menggalakkan pembelajaran secara atau talian, tetapi kebanyakan keluarga B40 tidak mampu memiliki komputer, laptop, iPad dan smartphone. Mungkin ibu bapa ada, tetapi tidak mencukupi jika keluarga mempunyai beberapa kanak-kanak.

"Untuk mengelakkan "lost generation" daripada terus keciciran pembelajaran, kami dari Parlimen Bayan Baru akan mengutip komputer, laptop, iPad dan smartphone lama, kemudian diperbaiki oleh sekumpulan sukarelawan mahasiswa, kemudian kami akan memberi secara percuma kepada murid-murid dan pelajar B40," katanya.

Tambah Sim, derma berbentuk 'micro-fundraising' RM50 atau ke atas turut dialu-alukan untuk menggantikan hard disk, ram, video card yang rosak.

"Sasaran kami adalah mendapat 400 peranti dalam 14 hari. Setakat ini sudah ada 350 pelajar telah memohon kepada kami. Maka keperluan amat mendesak," katanya.

Sebarang derma dan sumbangan berbentuk kewangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru bernombor 5570-5461-1829.

 

No comments: