8 bulan lagi baru rakyat dapat vaksin? Ini tidak boleh diterima - Xavier

 


Posted By Amir WRLR


Naib Presiden KEADILAN, Dr. Xavier Jayakumar membidas keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengumumkan bahawa rakyat hanya akan mendapat vaksin pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berpendapat kerajaan PN seolah-olah tidak serius dalam usaha untuk mendapatkan vaksin lebih awal.

"Pengumuman yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertugas untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sangat mengecewakan.

"Ini menunjukkan kurangnya usaha yang jelas dilakukan oleh kerajaan PN bagi membuat persiapan awal untuk vaksin tersebut. Sebaliknya, mereka lebih berminat untuk memegang tampuk kekuasaan daripada kesejahteraan rakyat.

"Sekarang Khairy telah menyatakan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia hanya akan mendapat akses kepada vaksin pada suku tahun ketiga 2021, sekitar 8 bulan dari sekarang, seolah-olah mengatakan bahawa darurat akan berterusan hingga akhir tahun ini, sementara negara terus menderita kerana ketidakcekapan kerajaan," katanya.

Justeru, Xavier yang juga bekas Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli menggesa kerajaan memberikan fokus penuh atau undurkan diri sahaja jika sudah tidak mampu untuk mentadbir negara.

"Ini sama sekali tidak dapat diterima dan menunjukkan kurangnya perancangan dan tidak menunjukkan tanda terdesak. PN harus berhenti berpolitik dan menumpukan perhatian pada kesejahteraan negara.

"Sekiranya kerajaan ini tidak mampu menangani keadaan itu, PN harus mengundurkan diri kerana sangat jelas bahawa ia tidak lagi memegang majoriti di Parlimen," katanya.

 

No comments: