Semak dan imbang yang tidak boleh dipinggirkan ketika darurat

 

Oleh Fakhrurrazi Rashid

(Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA))

Ketika penularan Covid-19 kian membimbangkan, kerajaan telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri untuk mengurangkan peningkatan kes yang kini mencecah hampir 3,000 kes sehari. 

Persoalan timbul apabila pihak kerajaan membuat keputusan untuk menggantung parlimen sepanjang tempoh darurat. Tindakan ini seperti memminggirkan proses semak dan imbang ke ke atas tadbir urus negara dalam usaha melawan Covid-19. 

Penggantungan parlimen semasa darurat bertentangan dengan ucapan Perdana Menteri yang memohon agar semua pihak, termasuk ahli parlimen merentasi parti politik, bekerjasama dan bersolidariti menangani Covid-19. Apakah rasional seruan ini dibuat sekiranya parlimen yang menjadi institusi membincangkan isu rakyat digantung pihak kerajaan sendiri? 

Pendirian Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR), Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan media bertarikh 12 Januari 2021 amat mengecewakan apabila tidak mempunyai keupayaan mengkritik kerajaan PN yang terburu-buru menggantung parlimen sedangkan tiada sebarang Ordinan dibuat untuk menghentikan perjalanan parlimen. 

Ahli parlimen kini diturunkan pangkat daripada penggubal undang-undang dan dasar kepada ‘pekerja sosial’ di kawasan masing-masing semasa darurat. Kenyataan ini telah merendahkan peranan sebenar institusi parlimen dalam tadbir urus negara. 

Jadi apakah pilihan lain yang boleh dibuat untuk memastikan semakan terhadap tadbir urus kerajaan berfungsi ketika darurat ini?

Model semak dan imbang yang berfungsi

Terdapat cadangan untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Bebas yang mengesyorkan kepada Yang Di-Pertuan Agong berkaitan keperluan untuk menamatkan darurat lebih awal. 

Skop yang diberikan jawatankusa bebas ini amat terhad. Jawatankuasa bebas sepatutnya berfungsi sebagai badan yang menyemak tadbir urus kerajaan mengatasi krisis Covid-19. Peranan ini lebih mustahak jika dibandingkan dengan urusan menentukan tempoh masa darurat yang akhirnya terletak di tangan kerajaan sendiri. 

Penting untuk rakyat dan ahli parlimen membentuk satu model Jawatankuasa Bebas yang berfungsi, bukan sekadar jawatankuasa ‘kosmetik’ dan mempunyai kuasa yang terhad.

Oleh itu, peranan Jawatankuasa Bebas perlu ditambahbaik dan menumpukan perhatian kepada pengurusan Covid-19 seperti yang pernah dilakukan di New Zealand. 

Epidemics Response Committee: Covid-19 2020 (Jawatankuasa Respon Wabak: Covid-19 2020) merupakan sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan parlimen New Zealand untuk meneruskan fungsi semak dan imbang terhadap tadbir urus kerajaan Jacinda Ardern, selepas sidang parlimen terpaksa ditangguhkan apabila lockdown tahap 4 dilaksankan pada bulan Mac 2020. 

Penubuhan Epidemics Response Committee: Covid-19 2020 adalah  pendekatan efektif untuk memberi kritikan konstruktif kepada kerajaan bagi menambahbaik strategi mengatasi krisis Covid-19.  

Jatwankuasa ini diketuai oleh Ketua Pembangkang New Zealand pada waktu itu, Simon Bridges (Parti Nasional). Daripada 11 orang ahli jawatankuasa, majoritinya ialah ahli parlimen pembangkang dan parti minoriti di New Zealand. 

Komposisi ini dibentuk supaya prinsip semak dan imbang dapat dijalankan dengan telus tanpa konflik berkepentingan antara ahli parlimen yang menyokong kerajaan dan jemaah menteri.  Secara tidak langsung, ia menunjukkan komitmen kerajaan mengiktiraf peranan pembangkang untuk bersama-sama menguruskan New Zealand ketika krisis Covid-19. 

Epidemics Response Committee telah mebincangkan lebih 12 bidang meliputi pendidikan, kesihatan, pekerjaan, ekonomi dan hubungan masyarakat Moari. Kesemua JPK di parlimen New Zealand bekerjasama dalam jawatankuasa ini dalam membincangkan isu-isu berbangkit semasa Covid-19. 

Sepanjang tempoh lockdown, persidangan jawatankuasa dilakukan secara maya dan turut melibatkan pandangan pakar dan pemegang taruh untuk meneliti impak dasar kerajaan New Zealand mengatasi krisis Covid-19. 

Menteri dan ahli pentadbir perlu hadir ke Jawatankuasa ini untuk memberi keterangan dalam sesuatu isu. Namun, pernah terjadi isu apabila Menteri Kewangan New Zealand, Carelee McLiesh gagal hadir pada sesi pendengaran  Epidemics Response Committee dan tindakan ini dikritik hebat oleh orang awam dan pengerusi jawatankuasa.  

Kesemua sesi pendengaran dan prosiding jawatankuasa disiarkan secara langsung melalui platform media sosial dan arus perdana. Ia memberi jaminan bahawa setiap prosiding jawatankuasa diketahui orang awam fan dilakukan secara telus dan terbuka. 

Epidemics Response Committee telah dibubarkan parlimen pada 13 Mei 2020 memandangkan situasi Covid-19 di New Zealand kian reda. Apa yang penting, setiap laporan dikemukakan oleh jawatankuasa telah dibahaskan parlimen New Zealand apabila parlimen kembali bersidang pada penghujung April 2020.  

Fokus kepada tadbir urus dan strategi

Kini, badan eksekutif mempunyai kuasa yang begitu besar semasa darurat. Oleh sebab itu, fungsi semak dan imbang tidak boleh dipinggarkan supaya kerajaan tidak menggunakan kuasa diluar kawalan yang boleh memberi impak buruk kepada rakyat dan negara. 

Model Epidemics Response Committee perlu menjadi contoh kepada struktur dan fungsi Jawatankuasa Bebas yang bakal ditubuhkan. Sebuah model jawatankuasa dari New Zealand ini sekurang-kurangnya telah berjaya menurunkan kadar kes Covid-19 dan memulihkan asas ekonomi negara mereka dengan baik.  

Saya optimis bahawa kerajaan PN tidak mempunyai halangan untuk menambahbaik Jawatankuasa Bebas memandangkan New Zealand juga pernah menubuhkan jawatankuasa yang hampir sama ketika mereka ditahap yang kritikal dengan jayanya.  

Apabila Jawatankuasa Bebas memberi fokus kepada semakan dan kritikan membina terhadap pengurusan kerajaan PN, tentunya ia memberi pandangan yang boleh menambahbaik pelan dan strategi memerangi wabak Covid-19. 

Jika perancangan yang menyeluruh antara Jawatankuasa Bebas dan kerajaan mampu mengurangkan penularan Covid-19, tempoh darurat boleh ditamatkan secepat yang mungkin.  

Jika kerajaan PN serius dalam membentuk perpaduan dan kerjasama, penubuhan jawatankuasa parlimen dalam mengatasi pandemik ialah platform terbaik buat kerajaan dan pembangkang berganding bahu bagi menguruskan krisis Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.  

Ia juga akan membina keyakinan orang awam terhadap hala tuju negara untuk keluar daripada krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang berada di tahap yang kritikal.



No comments: